TANGKAK: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bapa saudaranya, Isnin lalu.
Tertuduh, Muhamad Fairus Osman, 36, yang memakai baju berkolar biru dan berseluar jean hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas seorang warga emas, Muhamad Yusof Md. Said, 72, di alamat SP. 35, Jalan Serom 3 Panggong, Sungai Mati, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 11.15 pagi, 12 Julai lalu yang menyebabkan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, selain mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan ekoran tertuduh berhadapan dengan Seksyen 302.
Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin. Mahkamah menetapkan 6 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang warga emas maut akibat ditikam anak saudaranya selepas berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, mangsa ditikam menggunakan senjata pisau di bahagian badan, muka dan kepala.
Menurut Mohd. Fadhil, polis yang menerima laporan kejadian pada pukul 1.19 tengah hari berjaya menahan suspek yang juga seorang bekas banduan termasuk merampas senjata digunakan dalam kejadian itu.
Kata beliau, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek yang telah tinggal serumah sejak kecil telah bertengkar ekoran pemuda itu sering ditegur bapa saudaranya untuk mencari pekerjaan.- UTUSAN ONLINE