PUTRAJAYA: Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka adalah satu perjanjian bersifat adil kepada peneroka dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Felda dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya bersetuju untuk menghapuskan sebahagian hutang peneroka sehingga setakat 31 Disember 2019.
Katanya, penghapusan itu adalah berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda.
“Peneroka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat menghantar hasil sepenuhnya kepada Felda, membayar ansuran bulanan pinjaman sepenuhnya setiap bulan dan melaksanakan pengurusan kebun mengikut kaedah, piawaian, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik yang ditetapkan Felda,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.
Felda berkata, objektif utama inisiatif perjanjian itu yang diumumkan sempena Hari Peneroka Felda 2021 adalah bagi menerapkan kebersamaan Felda dan peneroka melalui satu sistem pengurusan ladang yang lestari.
Katanya, inisiatif ini secara langsung akan memberi manfaat kepada warga peneroka terutama dari segi pendapatan.
“Pengurusan di peringkat wilayah dan rancangan siap siaga membantu warga peneroka yang mempunyai kekeliruan atau hubungi kami di platform rasmi FELDA. Laman sesawang Aduan FELDA :https://felda.spab.gov.my atau hubungi FELDA di aplikasi WhatsApps (012-259 4214),” katanya.
Semalam, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar meminta Felda segera menjelaskan tentang isi kandungan perjanjian penghapusan hutang pinjaman kepada peneroka secara bersemuka bagi mengelakkan kekeliruan dan implikasi jangka panjang.
Menurutnya, AMBFM sudah mengkaji isi kandungan perjanjian dan mendapati beberapa perjanjian dilihat berat sebelah dan tidak menyebelahi peneroka dan fasa itu dikhuatiri boleh memerangkap peneroka yang telah berpenat lelah selama ini membayar hutang bayaran kembali (BK) dan mendapat geran hak milik tanah mereka sendiri. -UTUSAN ONLINE