Penduduk ‘terperangkap’ di Pulau Perhentian akibat PKP - Utusan Malaysia

Penduduk ‘terperangkap’ di Pulau Perhentian akibat PKP

NOOR SURYANTI( kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nik Zah di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Hampir 2,000 penduduk di Pulau Perhentian, di sini bukan sekadar hilang punca pendapatan, malah ibarat ‘terperangkap’ di pusat peranginan itu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

Selepas sektor pelancongan ditutup, penduduk di pulau tersebut terpaksa bercucuk tanam dan memancing ikan demi mengisi perut keluarga masing-masing kerana tidak bebas bergerak akibat kekangan PKP.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Nik Zah Othman, 62, dalam keadaan pandemik yang membataskan pergerakan ketika ini, wang simpanan di bank tidak mampu menyelesaikan masalah terputus bekalan makanan dihadapi mereka.

“Ada duit yang banyak pun tidak guna, kerana tidak ada ATM (mesin pengeluaran wang automatik) di pulau ini. Jika hendak keluarkan wang, kami perlu menaiki bot ke pekan terdekat di tanah besar iaitu Besut.

“Setiap hari, saya terpaksa berjimat cermat, kerana bimbang takut terputus bekalan. Kita bukan boleh berurusan dengan bank atau pergi membeli belah di kedai-kedai setiap masa seperti di tanah besar,” katanya ketika dihubungi.

Nik Zah berkata, selain memancing sendiri ikan untuk dijadikan lauk harian, dia kini bercucuk tanam pelbagai jenis sayuran untuk menampung keperluan keluarga di samping turut dijual kepada penduduk kampung.

BARANGAN sampai di jeti untuk diagihkan kepada penduduk di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu baru-baru ini. – UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI

“Bantuan bakul makanan daripada pelbagai pihak ada juga sampai, tetapi tidak selalu. Disebabkan jarang-jarang diterima, bakul makanan itu habis dengan cepat kerana semua rumah tidak kira orang susah atau senang memerlukannya ketika ini,” katanya.

Mendengar rintihan penduduk terbabit, Pertubuhan Kasih Neelofa terpanggil untuk menyalurkan sumbangan bakul makanan bernilai RM40,000 untuk diagihkan kepada kira-kira 2,000 penduduk yang terjejas, Khamis lalu.

Pengurus Pertubuhan Kasih Neelofa Pantai Timur, Noor Suryanti Noor Mohamed berkata, selain penduduk di pulau tersebut, bakul makanan turut diagihkan kepada 160 pemandu bot tambang ke Pulau Perhentian yang kini hilang mata pencarian masing-masing.

“Sebelum ini kita dapat banyak panggilan daripada penduduk di Pulau Perhentian mendakwa mereka terputus bekalan makanan dan sukar untuk ke daratan kerana kekangan PKP ketika ini. Diharap sumbangan bakul makanan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya