REMBAU: Sebanyak 12 sekeluarga yang tinggal di Estet Pelin, dekat sini, berasa sebak apabila polis sanggup menghantar bantuan kepada mereka yang sudah pun menetap di estet berkenaan sejak tujuh tahun lalu.
Anita Abdul Manaf, 42, berkata, suaminya, Nor Azmi Bantut, 46, merupakan penyelia ladang dan disebabkan pendemik berkenaan suaminya hanya bergantung pendapatan kepada gaji pokok sahaja.

Menurutnya, pendemik Covid-19 berkenaan turut sama memberi kesan kepada keluarga mereka lebih-lebih lagi hanya suaminya sahaja yang bekerja bagi menyara tiga anak sendiri dan tujuh anak saudara.
“Sejak tiga tahun lalu, saya diberikan amanah untuk menjaga tujuh orang anak adik berusia tiga hingga 17 tahun kerana rumah tangga adik berhadapan dengan masalah.
“Walaupun terjejas, kami tidak pandai untuk meminta-minta bantuan dan terkejut apabila polis mengetahui kesusahan kami yang tinggal di kawasan estet ini,” katanya ketika ditemui sempena Program Op Bantu Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di kuartes Estet Pelin, di sini, tadi.
Anita berkata, semasa menerima panggilan dari polis semalam, dia menyangkakan suaminya memiliki tunggakan saman, namun sangkaannya meleset.
Menurut penerima bantuan makanan bulanan Baitulmal berkenaan, bantuan tersebut sangat bermakna buat mereka sekeluarga memandangkan kos hidup serta makanan pada masa kini agak tinggi serta membebankan.
“Rasa nak menangis, ingat tak ada siapa yang nampak kami di sini (estet), rupa-rupanya polis sendiri yang hantar bantuan kepada kami dan kami sangat berterima kasih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, Op Bantu berkenaan merupakan program yang dilancarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha memastikan mana-mana individu atau keluarga yang terjejas disebabkan pendemik akan mendapat bantuan bakul makanan.
Menurutnya, di setiap daerah sebanyak 300 bakul makanan akan diserahkan kepada individu atau keluarga yang telah dikenalpasti pasukan polis bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk diberikan bantuan.
“Hari ini kita bersama Rela dan Skuad Aman Wanita (AMANITA) serahkan sendiri bantuan ke 10 buah rumah di DUN Chembong antaranya di Kampung Rendah, Taman Sedia Raja, Kampung Chembong Halt dan Taman Pedas Perdana. Selebihnya akan disampaikan dalam masa terdekat.- UTUSAN ONLINE