ALOR GAJAH: Lebih 100 penduduk Masjid Tanah di sini menzahirkan rasa syukur selepas menerima bantuan barang basah berupa ikan dan sayur seberat 400 kilogram (kg) daripada sebuah syarikat guaman, semalam.
Seorang penduduk, Zamry Mohd. Ani, 39, berkata, dia tidak menyangka diberikan sebanyak 20 ekor ikan kembung dan pelbagai jenis sayur ketika datang mengambil bekalan tersebut untuk keluarganya di Taman Bidara Permai.
“Saya hanya bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan menanggung enam ahli keluarga lain termasuk ibu serta bapa mentua yang menghidap strok.
“Jadi, apabila dapat bantuan infak seperti ini, saya sangat bersyukur. Bekalan yang diberi ini banyak, cukup untuk seminggu bagi kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, ibu tunggal, Rohani Hamzah pula berkata, dia membawa pulang kira-kira satu kg ikan kembung serta sayur sawi untuk dijadikan menu makan tengah hari 11 ahli keluarga.
“Keluarga kami besar dan perbelanjaan barang basah memang agak tinggi, tidak sangka hari ini ada pihak yang berbesar hati memberikan barang basah, dapatlah kami berjimat-cermat,” katanya.
Sementara itu, penganjur, Muhammad Affande Hassan, 31, berkata, syarikat guaman itu menyumbangkan masing-masing 200 kilogram ikan dan sayur untuk menampung keperluan harian penduduk di situ.
“Kami terpanggil untuk memberikan sedikit sumbangan bekalan makanan selepas pihak kerajaan mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
“Jadi, kami infakkan sebanyak 400 kilogram barang basah dan lebih 100 penduduk telah datang secara pandu lalu untuk mengambil bekalan diperlukan mengikut jumlah seisi rumah,” katanya
Tambahnya, kesemua barangan itu habis diedarkan dalam masa kurang 1 jam 30 minit.
Katanya, selain pandu lalu, ia turut dihantar ke beberapa rumah penduduk yang dikenal pasti memerlukan bantuan, namun mempunyai masalah untuk bergerak. – UTUSAN ONLINE