Pencarum KWSP mula intai barang kemas guna i-Citra - Utusan Malaysia

Pencarum KWSP mula intai barang kemas guna i-Citra

GOLONGAN wanita mula merancang menggunakan wang i-Citra untuk membeli barang kemas termasuk yang diiklankan menerusi pelbagai platform media sosial dan portal e-dagang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kurang seminggu permohonan pengeluaran i-Citra bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuka 12 Julai lalu, peminat tegar barangan kemas dikatakan mula mengintai koleksi terkini secara dalam talian.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa  laman media sosial termasuk WhatsApp  mendapati peminat hiasan peribadi itu  mula mencari produk barangan kemas sebelum pembayaran pertama i-Citra dijangka diterima bermula Ogos ini.

Pemohon i-Citra yang juga operator kilang di Bayan Lepas, Nadiah Arshad, 38, berkata, kesanggupan membeli sekurang-kurangnya  hanya sebentuk cincin emas jenis ‘daun ketum’ seberat lapan gram adalah sebagai pelaburan untuk masa depan.

Menurutnya, keputusan tersebut dianggap terbaik buatnya ketika penularan pandemik Covid-19 dilihat masih mengganas di negara ini.

“Saya nekad untuk menggunakan separuh daripada wang i-Citra bagi membeli barangan kemas sebaik sahaja kerajaan membenarkan premis berkenaan beroperasi semula nanti.

“Kita tidak pasti sampai bila harus berada dalam keadaan sebegini meskipun angka jangkitan Covid-19  di negara ini masih berada pada tahap tinggi,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Siti Azila Ahmad, 41, pula memberitahu, dia juga memutuskan membeli sepasang subang emas seberat lima gram pada harga emas terkini dianggarkan sekitar RM245 segram.

“Saya juga dimaklumkan yang harga emas dijangka naik lagi sejurus permohonan i-Citra dibuka kepada pencarum KWSP.

“Biarpun bentuk emas itu kecil namun nilainya tetap berharga dan boleh melonjak tinggi nanti. Mungkin boleh digunakan sekiranya berdepan sebarang kecemasan atau terdesak wang pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader meminta pengguna memanfaatkan caruman KWSP untuk simpanan masa depan.

“Caruman KWSP merupakan simpanan untuk hari tua. Sekiranya tiada keperluan, pengguna tak perlu keluarkan caruman tersebut (i-Citra) untuk dijadikan pelaburan seperti membeli emas.

“Emas dianggap pelaburan yang hasilnya sangat rendah kerana harganya tidak meningkat dengan cepat di bawah keadaan biasa.

“Sekiranya barang kemas itu dijual semula atau digadai, seseorang itu akan mengalami kerugian daripada caj buruh yang merupakan sebahagian besar daripada harga pembelian, melainkan harga emas itu naik dengan ketara,” tegasnya.

Tambah beliau, CAP menasihati pengguna yang juga pencarum KWSP supaya jangan sesekali menyalahgunakan pengeluaran wang i-Citra demi meneruskan kelangsungan hidup yang serba mencabar ketika ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya