KOTA KINABALU: Pemimpin politik Sabah menyokong penuh pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan itu adalah satu tindakan tepat kerana kedua-dua mereka mempunyai pengalaman dan memegang portfolio penting dalam kerajaan.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan penuh kepada Ismail Sabri dan Hishamuddin ini.
“Kita percaya lantikan ini akan mengukuhkan lagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama membolehkan Malaysia terus fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut senada menyokong lantikan itu adalah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Katanya, rombakan kecil dalam menteri kabinet ini dilihat akan mengukuhkan lagi kerajaan dan barisan Kabinet PN dan PBS akan terus bekerjasama rapat dengan kepimpinan di peringkat negeri dan P\ersekutuan.
“Beliau (Ismail Sabri) adalah pemimpin yang tepat untuk jawatan tersebut setelah berdasarkan pencapaiannya yang sangat baik sebelum ini. Beliau juga telah memegang portfolio sebagai menteri kanan terutama dalam mengawal dan menangani situasi Covid-19 di negara ini,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, lantikan Timbalan Perdana Menteri yang baharu ini bukan sahaja tepat pada masanya, tapi juga tindakan yang wajar bagi memenuhi keperluan negara.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup melihat pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan itu adalah langkah yang baik bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan.
“PBRS selaku komponen dalam Barisan Nasional (BN) menyokong penuh pelantikan ini dan yakin dengan kemampuan kedua-dua pemimpin ini berdasarkan kepada pengalaman serta pencapaian tertinggi yang telah ditunjukkan dalam pentadbiran kerajaan.
“Pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19 bagi memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee pula berkata, pelantikan tersebut akan mengukuhkan lagi kerajaan yang dipimpin PN.
Ia sekali gus akan membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti dikehendaki oleh rakyat.
Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi PN itu berkata, lantikan itu juga disokong penuh oleh semua Majlis Pimpinan Tertinggi PN.
Tambah Teck Lee, Perdana Menteri membuat keputusan yang tepat bagi memastikan Kabinet dikendalikan oleh pemimpin kanan UMNO yang berpengalaman dan mempunyai rekod pengurusan krisis yang sangat baik. -UTUSAN ONLINE