Pelajar STPM kesuntukan masa perlu belajar bersemuka - Utusan Malaysia

Pelajar STPM kesuntukan masa perlu belajar bersemuka

MOHAMMAD ARIF SAKARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semakin kesuntukan masa untuk bersedia menghadapi peperiksaan.

Maka, pemberian suntikan vaksin kepada pelajar berusia 18 tahun perlu disegerakan bagi membolehkan mereka kembali ke sekolah.

Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sabah, Mohammad Arif Sakaran berkata, vaksinasi kepada pelajar STPM akan membolehkan mereka segera kembali ke sekolah dan mengikuti sesi pembelajaran bersemuka.

“Pada masa ini calon peperiksaan STPM sudah kesuntukan masa dalam membuat persiapan menghadapai peperiksaan maka, sesi pembelajaran yang berkualiti secara bersemuka perlu disegerakan.

“Pemberian vaksin kepada pelajar-pelajar ini akan meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah apabila sesi persekolahan dibuka semula,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, beliau melihat keperluan pemberian vaksin kepada guru-guru dan kakitangan sekolah juga harus disegerakan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di sekolah.

Keutamaan harus diberikan kepada guru dan kakitangan sekolah di kawasan luar bandar kerana pelajar di kawasan tersebut berhadapan masalah capaian internet dan kekurangan peranti ketika mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mohammad Arif berkata, setelah semua guru, kakitangan sekolah dan pelajar yang menduduki STPM selesai menerima vaksin yang lengkap maka, sesi persekolahan secara bersemuka boleh dilaksanakan.

Semalam, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyatakan walaupun pihaknya belum mempunyai tarikh khusus mengenai perkara itu tapi, pemberian vaksin kepada pelajar berumur 19 tahun yang bakal menduduki peperiksaan STPM akan disegerakan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan akan memberikan vaksin Covid-19 kepada kira-kira 400,000 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN