Nurseri Pak Mokhtar guna 1,000 besen semai pokok - Utusan Malaysia

Nurseri Pak Mokhtar guna 1,000 besen semai pokok

MOKHTAR Siron menunjukkan pokok bung yang ditanam menggunakan besen di nurseri mini miliknya di Kampung Api-Api, Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Orang ramai yang melalui jalan Batu 40, Kampung Api-Api di sini, tentunya akan melihat sosok tubuh seorang warga emas yang menguruskan nurseri mini yang ditanam dengan pelbagai pokok dan tanaman herba.

Uniknya, nurseri yang diusahakan oleh Mokhtar Siron, 70, tidak menggunakan pasu sebagai medium utama sebaliknya menggunakan kira-kira 1,000 besen bagi menanam pelbagai jenis bunga dan pokok di tanah seluas 2.4 hektar.

Menceritakan kepada Utusan Malaysia, Mokhtar atau lebih mesra dipanggil Pak Mokhtar juga merupakan seorang bekas kontraktor landskap sekitar 1970 hingga 2000 yang banyak melakukan kerja-kerja itu di kawasan pihak berkuasa tempatan termasuk pusat pentadbiran negeri di Kota Iskandar.

“Selepas bersara pada tahun 2000, saya menumpukan kepada kerja-kerja menanam pelbagai jenis tanaman seperti serai, kunyit, cekur, temu lawak, lempoyang yang merupakan tanaman jenis herba.

“Tanaman seperti itu semakin kurang ditemui seperti kunyit hitam, kunyit putih, kunyit hitam India yang mempunyai pelbagai khasiat bagi tujuan perubatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Mokhtar, selain itu, dia juga memberikan perhatian kepada tanaman bunga ros Jepun yang merupakan tarikan utama di nurseri mini miliknya yang akan mengeluarkan bunga pada waktu tengahari.

“Bunga ros Jepun ini akan mengeluarkan bunga bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari dengan pelbagai warna yang jarang ditemui di tempat lain,” ujarnya.

Katanya, bunga ros Jepun yang ditanam menggunakan besen itu dijual dengan harga antara  RM20 hingga RM30 bergantung kepada saiz dan mendapat sambutan orang ramai terutama peminat bunga Ros Jepun dengan jualan mampu diperolehi antara 10 hingga 15 besen sehari.

Moktar berkata, selain bunga ros Jepun tanaman kedua yang menjadi tumpuan adalah pandan kuning yang ditanam di dalam pasu dengan harga setiap pasu bermula RM30 hingga RM50.

Ketika ditanya mengapa terus memilih kerja-kerja seperti itu, dia memberitahu, minat serta tanggungjawab bagi memastikan tanaman herba khususnya agar terus terpelihara serta dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Bukan soal pendapatan tetapi menggunakan masa lapang dengan kerja-kerja yang dapat membantu orang lain memandangkan kedudukan nurseri mini saya terletak di jalan utama Pontian ke Benut.

“Tanaman serai yang dilakukan lebih daripada 10 tahun telah dapat memudahkan pengusaha nasi ayam mendapatkan bekalannya setiap hari dan saya juga menawarkan khidmat nasihat bagi tanaman agar hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya