Mulanya keras hati alasan takut mati, akhirnya Tok Batin Harun bersetuju divaksin - Utusan Malaysia

Mulanya keras hati alasan takut mati, akhirnya Tok Batin Harun bersetuju divaksin

MUSTAPA Long (berdiri, kiri) sedang beramah mesra dengan Batin Harun Abdullah (duduk) selepas disuntik vaksin di Kampung Bencah Kelubi, Telok Gunung, Lipis baru-baru ini. - HARIS FADILAH AHMAD   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS : Setelah banyak kali dipujuk akhirnya sikap ‘keras hati’ Tok Batin Orang Asli Kampung Bencah Kelubi, Telok Gunung, Harun A/L Abdullah, 60, mula berlembut dan bersetuju menerima suntikan vaksin.

Batin Harun dan sebilangan penduduk Orang Asli etnik Bateq di situ telah menerima suntikan vaksin daripada petugas Jabatan Kesihatan Lipis yang datang ke kampung tersebut sempena program mendaftar dan pengambilan vaksin di perkampungan Orang Asli daerah Lipis baru-baru ini.

Sikap keras hati Batin Harun Abdullah yang enggan menerima suntikan vaksin dengan alasan tidak masuk akal, iaitu ‘takut mati’ sehingga mempengaruhi kira-kira 47 orang ketua keluarga di situ juga tidak bersetuju disuntik.

Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, keengganan Batin Harun menerima suntikan vaksin sebelum ini akibat terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu dari luar yang datang ke kampung tersebut di samping memperoleh maklumat yang tidak benar daripada media sosial.

“Bertitik-tolak daripada dakyah orang luar berkenaan yang memanipulasikan kesan yang tidak masuk akal sehingga Batin Harun berubah sikap dan mengajak anak buahnya supaya tidak mendaftar dan mengambil vaksin,” katanya di Kampung Bencah Kelubi, Telok Gunung dekat sini baru-baru ini.

Menurut Mustapa, beliau bersama pegawai perubatan serta kakitangan Jabatan Kesihatan telah beberapa kali ke kampung tersebut untuk memujuk Batin Harun dan penduduk Orang Asli etnik Bateq di situ supaya menerima suntikan vaksin.

Katanya, usaha memberikan penerangan dan pendaftaran vaksinasi serta memujuk Orang Asli kawasan Padang Tengku juga dilakukan di kawasan berdekatan, iaitu Kampung Sungai Sekin (28 keluarga), Kampung Sungai Garam (20 buah keluarga), Kampung Paya Keladi (15 buah keluarga).

“Kita berterima kasih kepada Tok Batin Kampung Paya Keladi, Harun A/L Kekabu, 52, bersama dua orang penduduk di situ bersetuju dan telahpun menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Sungai Koyan baru-baru ini.

“Kerelaan serta keyakinan Batin Harun menerima vaksinasi menjadi ‘modal’ bagi kita memujuk tok batin serta penduduk Orang Asli kampung lain menerima dan nampaknya ramai yang sudah bersetuju untuk mendaftar dan menerima vaksin mulai hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk Orang Asli Kampung Bencah Kelubi,  Adi A/L Man, 46, berkata, dia menyesal apabila terpengaruh dengan dakyah orang luar sehingga Tok Batin Harun meminta mereka supaya tidak mengambil vaksin sebelum ini.

“Setelah banyak kali diberi penerangan oleh wakil rakyat (Mustapa) dan kakitangan klinik kesihatan akhirnya saya percaya dan betul apa yang telah mereka nasihati supaya kami dapat mengelakkan daripada jangkitan wabak Covid-19.

“Malahan, suntikan vaksin boleh mati benar-benar bohong. Lihat keadaan saya tidak ada apa-apa pun, berasa sihat dan selepas ini saya ke hutan semula mencari rezeki,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya