Mohon kelonggaran 30 peratus pelanggan makan di kedai - Utusan Malaysia

Mohon kelonggaran 30 peratus pelanggan makan di kedai

MOHAMMAD SALEZAN MOHD. SALLEH (kiri) dan ZAINI ATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Golongan peniaga di negeri ini memohon kerajaan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membolehkan restoran beroperasi dengan membenarkan pelanggan makan di kedai.

Presiden Majlis Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Negeri Johor, Zaini Atan berkata, mereka berharap kelonggaran dapat diberi sehingga 30 peratus daripada kapasiti restoran.

Jelas beliau, permohonan itu dibuat kerana SOP sedia ada iaitu hanya untuk pembungkusan tidak dapat menampung kos operasi mereka.

“Mengikut kepada SOP sekarang, premis perniagaan hanya boleh beroperasi secara ‘bawa pulang’ sahaja. Namun operasi sedemikian hanya dapat menampung kira-kira 20 peratus perniagaan jika dibandingkan dengan kebenaran makan di dalam premis.

“Pendapatan 20 peratus itu hanya mencukupi untuk membayar gaji pekerja semata-mata, manakala kos lain seperti sewa premis langsung tidak dapat ditampung.

“Jadi kami mewakili golongan peniaga premis makanan memohon kerajaan untuk melonggarkan SOP operasi kedai makan kerana model (SOP) sekarang adalah model yang gagal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sidang akhbar secara bersama itu turut diwakili persatuan peniaga dalam kalangan masyarakat India dan Cina yang mewakili lebih daripada 50,000 peniaga di seluruh Johor.

Tambah Zaini, pihaknya juga bersedia menerima syarat hanya membenarkan golongan dewasa sahaja untuk menikmati juadah di dalam premis dan melarang kemasukan kanak-kanak.

“Rayuan ini terpaksa dilakukan kerana jika keadaan semasa berterusan, ramai dalam kalangan peniaga kedai makanan akan gulung tikar. Tidak perlu tunggu, masyarakat boleh lihat sendiri berapa banyak premis makanan yang sudah ditutup kerana tidak dapat menampung kos operasi mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB), Mohammad Salezan Mohd. Salleh pula berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mengkaji kaedah lain yang lebih sesuai berbanding hanya membenarkan kedai makan beroperasi secara bungkusan sahaja.

“Kaedah ‘bawa pulang’ bagi premis makanan seperti restoran tidak lagi bersesuaian untuk tempoh jangka masa yang panjang kerana ia tidak dapat menampung kos operasi.

“Jadi kami berharap kerajaan dapat memikirkan satu kaedah lain dalam usaha melawan pandemik Covid-19, pengusaha kedai makan dapat terus beroperasi sekurang-kurangnya untuk menampung keperluan mereka,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya