MBJB nafi wujud pendaftaran vaksin kuota TMJ - Utusan Malaysia

MBJB nafi wujud pendaftaran vaksin kuota TMJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menafikan satu mesej yang tular di media sosial baru-baru ini memaklumkan terdapat borang pendaftaran ‘Vaksin Pfizer, Kuota TMJ’.

MBJB dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa borang tersebut adalah borang pendaftaran bagi vaksin jenis Pfizer di bawah kuota mana-mana pihak.

Jelas kenyataan itu, borang tersebut adalah borang pendaftaran vaksin digunakan urusetia Southern Volunteers Johor Bahru bagi membantu mendaftarkan warga bandar raya ini yang masih belum mendaftar.

“Pendaftaran sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi laman sesawang awatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di www.vaksincovid.gov.my. 

“Untuk makluman warga bandar raya juga, Southern Volunteers Johor Bahru turut menggunakan platform laman web JKJAV tersebut bagi menyemak dan mendaftarkan orang awam yang belum mendaftar vaksin. 

“MBJB menafikan sebarang makluman yang mengatakan bahawa pendaftaran vaksin melalui borang Southern Volunteers lebih diutamakan untuk pemberian vaksin berbanding kaedah pendaftaran sendiri melalui aplikasi MySejahtera atau laman web JKJAV,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, sehingga semalam, Southern Volunteers Johor Bahru bersama MBJB telah mendaftarkan seramai 30,008 penduduk bandar raya ini bagi menyokong usaha mencapai sasaran lebih 80 peratus rakyat Johor mendapatkan vaksin Covid-19.

“Warga bandar raya digalakkan untuk segera mendaftar vaksin bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dan seterusnya melindungi diri, keluarga dan masyarakat dari wabak berkenaan. 

“MBJB turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menyemak maklumat diterima serta merujuk saluran rasmi berkaitan vaksin Covid-19.

“Semakan boleh dibuat sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKJAV, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Southern Volunteers atau MBJB ,” jelas kenyataan itu lagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya