GUA MUSANG: Polis tidak membenarkan Orang Asli di enam kampung di sekitar Tanah Tinggi Lojing di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai semalam, bebas keluar masuk hutan dalam tempoh tersebut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam tempoh dua minggu PKPD dikuatkuasakan, beliau berharap masyarakat Orang Asli memberi kerjasama kepada anggota keselamatan untuk terus kekal di kampung masing-masing.
Kata beliau, jika mereka degil dan ingkar arahan dengan lari ke dalam hutan, pihaknya khuatir pandemik Covid-19 bakal menular ke perkampungan Orang Asli yang lain.
“Nasihat pihak polis kepada masyarakat Orang Asli yang kampung mereka dikenakan PKPD supaya duduk di rumah masing-masing, jangan merayau atau membuat pergerakan secara bebas.
“Ini juga memudahkan pihak Kementerian Kesihatan untuk membuat ujian calitan Covid-19 kepada semua penduduk,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKPD di enam kampung terbabit, hari ini.
Tambah Choon Foo, hampir 100 anggota keselamatan terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan bertugas mengawal enam perkampungan berkenaan.
“Setakat ini, kawalan keselamatan berjalan lancar dan masyarakat Orang Asli di enam kampung tersebut mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Kampung Cekau, Kampung Jedip, Kampung Sengsang, Kampung Lojing, Kampung Sendrop dan Kampung Penangau yang didiami Orang Asli suku kaum Temiar dikenakan PKPD mulai 30 Julai hingga 12 Ogos ini. -UTUSAN ONLINE