Maritim tahan bot rawa sorong, rampas 290 set bubu naga - Utusan Malaysia

Maritim tahan bot rawa sorong, rampas 290 set bubu naga

BOT nelayan yang dikesan menggunakan pukat rawa sorong di zon larangan di Pulau Pasir Hitam dekat Trong hari ini. - UTUSAN/IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot pukat rawa sorong kerana melanggar syarat sah lesen kerana menjalankan aktiviti perikanan di kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika dari Pulau Pasir Hitam dekat Trong hari ini.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot ronda Maritim yang melakukan rondaan rutin Op Benteng Laut dan Op Pintas di sekitar perairan Pantai Remis mengesan sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan yang dilarang oleh syarat sah lesen iaitu kurang dari tiga batu nautika kira-kira pukul 11 pagi.

“Menyedari kehadiran bot penguat kuasa, kru bot tersebut bertindak meloloskan diri dengan cara terjun ke laut dan berenang ke hutan paya bakau berhampiran.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai sedang melakukan aktiviti perikanan dengan menggunakan pukat rawa sorong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, bot tersebut dipercayai berpengkalan di Pantai Remis disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang dan bot dibawa masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Sitiawan, petang tadi bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Shahrizan memberitahu, sebanyak 290 set bubu naga dirampas sekitar Pulau Pasir Hitam dan Pulau Talang dekat Pantai Remis pada kelmarin dan 24 Julai lalu.

Manakala pada 24 dan 26 Julai lalu, 290 set bubu naga telah dirampas di sekitar perairan Pulau Pasir Hitam dan Pulau Talang.

“Semua bubu naga itu yang dianggarkan bernilai hampir RM34,800 dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya