KUALA LUMPUR, : Program Malam Puisi Getaran Jiwa P. Ramlee pada 25 Julai ini bakal mengangkat tahap kesenimanan Tan Sri P. Ramlee sebagai pemuisi legenda negara melalui dialog dalam filem dan bait lirik yang digarap dalam lagu ciptaannya.
Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, walaupun bukan semua lirik lebih 400 lagu yang dicipta dan dinyanyikannya ditulis oleh beliau, kesemua lagu itu telah mengangkat lirik-lirik tersebut ke tahap yang lebih tinggi sehingga mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita boleh katakan bahawa P. Ramlee adalah tokoh yang telah memulakan tradisi penciptaan lagu puisi hasil karya penulis lirik terkenal seperti Datuk Jamil Sulong, H.M. Rohaizad, S. Sudarmaji dan Ainol Jamal.
“Malah lagu pertama ciptaannya, Azizah yang lirik asal adalah tulisannya sendiri mengandungi bait kata-kata yang sungguh puitis walaupun hanya memuji seorang wanita,” katanya kepada Utusan Online.
Radzuan berkata, program tersebut yang merupakan anjuran bersama PEMUISI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) diharap akan menjadi jenama baru persatuan berkenaan dan dijayakan setiap tahun selepas ini.
Ia bagi menyebarluaskan hasil seni dan karya P. Ramlee agar terus dinikmati sebagai aset dan khazanah negara yang bernilai tinggi, ujarnya.
Katanya, acara tersebut turut dijayakan oleh Penaung PEMUISI Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman; Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh; Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Naib Canselor ke-8 Universiti Malaya Prof. Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob; Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim dan cucu seniman agung itu, Najua P. Ramlee.
Ia akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook DBP, PEMUISI Berkarya dan FDAM mulai pukul 9.00 malam dan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr. Noor Zari Hamat.- UTUSAN ONLINE