SEREMBAN: Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) kekal dengan hasratnya untuk menjadi sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).
Naib Presidennya, Datuk V. Saravana Kumar berkata, mengambil kira kesetiaan parti itu dengan BN sebagai rakan parti selama ini selain dilihat semakin diterima masyarakat, wajar untuk Makkal Sakti diterima menjadi parti komponen BN.
“Kami masih berminat untuk menjadi sebahagian daripada BN iaitu sebagai parti komponen, sebelum ini BN ada 14 parti komponen, tetapi, bila kalah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, semua hilang, tinggal empat sahaja.
“Sudah lama kami minta untuk jadi parti komponen, kami setia dengan BN daripada PRU-14, malah, sebelum itu juga. Makkal Sakti mahu jadi parti komponen BN, itu memang jadi polisi kami,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Makkal Sakti Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan makanan di Bangunan Operasi Bomba, Jalan Ampangan dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim.
Saravana Kumar menambah, Makkal Sakti juga telah banyak kali menyerahkan memorandum berkenaan perkara tersebut termasuk ketika mesyuarat agung tahunan parti.
Terbaharu, katanya, parti itu juga ada mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bagi menyatakan hasrat parti itu.
“Makkal Sakti tidak mahu berterusan menjadi parti gabungan BN sahaja, kami menjadi parti komponen BN. Melaluinya, kami boleh memberikan sumbangan kepada masyarakat.
“Kami sekarang ini diterima khalayak ramai, kami turut menerima sokongan daripada kaum lain termasuk Melayu dan Cina,” katanya.
Ditanya sekiranya penglibatan Makkal Sakti sebagai komponen BN dilihat seolah berfungsi seperti MIC, Saravana Kumar menjelaskan, parti tersebut bukan mahu jadi sebuah parti yang menjadi persaingan kepada MIC.
“Sekiranya kami menjadi parti komponen, kami bukan persaingan kepada MIC, namun, terpulang kepada individu untuk memilih parti mana yang sesuai,” katanya. -UTUSAN ONLINE