IPOH: Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) mengedarkan pakej tablet dan data internet bernilai keseluruhan RM1.2 juta kepada 2,000 pelajar Tingkatan 5 daripada keluarga asnaf fakir miskin di seluruh negeri bermula Isnin lalu.
Tablet beserta pakej internet secara percuma selama enam bulan itu diagihkan secara terus kepada pelajar melalui pejabat-pejabat cawangan MAIPk di seluruh negeri dengan kerjasama pejabat Orang Besar Jajahan daerah.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari, berkata, inisiatif bantuan dan kemudahan tablet dan data internet itu bertujuan membantu pelajar mengikut sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih berkesan.
Menurutnya, bantuan tablet dan data internet itu merupakan salah satu daripada sembilan jenis bantuan yang telah diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menitahkan agar MAIPk menyediakan dana khas bantuan kepada golongan yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) terutama dari kalangan asnaf fakir miskin, pada 10 Jun lalu.
“MAIPk telah menggariskan beberapa bantuan yang dijangka dapat memberi manfaat kepada golongan yang terjejas.
“Antara bantuan yang telah selesai disampaikan ialah seperti sumbangan kepada 25 pusat jagaan anak yatim bernilai RM308,000 bagi membantu pengoperasian pusat-pusat jagaan anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahrul Azam, bantuan tajaan bekalan makanan institusi pendidikan bernilai RM200,000 sebagai rizab untuk pelajar di institusi pengajian tinggi di Perak yang perlu menginap di tempat pengajian semasa tempoh PKP turut diberikan.
Selain itu, katanya, MAIPk juga telah menyerahkan sumbangan kepada lima pusat jagaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) bernilai RM49,600 untuk membantu operasi pusat jagaan warga emas dan OKU yang berdaftar di bawah JKM.
Ujarnya, MAIPk menyasarkan penyerahan bantuan tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung oleh golongan yang terjejas.
Shahrul Azam juga mengajak masyarakat Islam terus menyokong MAIPk dan menunaikan ibadah zakat agar dana zakat sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan asnaf di Perak.
Tambah Shahrul Azam, MAIPk sentiasa komited dan cakna terhadap kesukaran yang dihadapi rakyat terutama dalam kalangan asnaf fakir miskin.
“Di tengah-tengah keprihatinan masyarakat Islam untuk membantu golongan yang terjejas semasa tempoh PKP, kita juga amat mengharapkan umat Islam tidak lupa terhadap kewajipan menunaikan ibadah zakat yang wajib.
“Ia kerana melalui zakat, ramai asnaf telah terbukti dapat dibantu bukan sahaja untuk memenuhi keperluan seharian asnaf tetapi turut membantu mereka dalam bidang pendidikan, perubatan dan sebagainya, ” jelasnya. – UTUSAN ONLINE