LUCT perlu segera mohon semula akreditasi penuh - MQA - Utusan Malaysia

LUCT perlu segera mohon semula akreditasi penuh – MQA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) dalam persiapan untuk memohon semula akreditasi bagi lapan program yang terkesan selepas akreditasinya dibatalkan.

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya sudah dihubungi LUCT mengenai proses permohonan semula akreditasi bagi semua program yang membabitkan kira-kira 800 pelajar itu.

Menurut kenyataan itu, lapan program terbabit terdiri daripada tujuh program peringkat ijazah sarjana dan satu Ijazah kedoktoran telah diberikan Akreditasi Penuh masing-masing sejak tahun 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Katanya, selaras dengan syarat pemberian Perakuan Akreditasi Penuh, MQA telah melaksanakan penilaian pematuhan terhadap syarat Akreditasi Penuh bermula pada 9 Mac 2018.

“Tempoh masa yang sewajarnya telah diberikan kepada LUCT untuk memastikan syarat Akreditasi Penuh dipatuhi, namun hasil daripada penilaian pematuhan itu, Perakuan Akreditasi Penuh program berkenaan terpaksa dibatalkan berkuat kuasa mulai 29 September 2020.

“Susulannya, pihak LUCT telah mengemukakan permohonan Akreditasi Penuh yang baharu ke MQA bagi semua program terbabit pada 15 Oktober 2020, namun setelah penilaian semula dilaksanakan, didapati langkah pembetulan masih belum dilaksanakan, maka permohonan Akreditasi Penuh program tersebut turut telah ditolak pada 25 Februari 2021 (tiga program) dan 30 Mac 2021 (lima program),” katanya hari ini.

MQA telah bertindak secara proaktif dan berhati-hati dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara ini.

Mengikut kenyataan itu, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, LUCT telah dinasihatkan untuk memperjelaskan isu ini kepada pelajar dan graduan di samping mengadakan perancangan yang sewajarnya bagi menangani isu ini.

Malah, katanya, MQA telah pun mengadakan beberapa sesi konsultansi dan perbincangan dengan pihak LUCT bagi menyelesaikan masalah berhubung dengan isu kualiti program yang dihadapi.

“Pihak LUCT juga telah disarankan untuk memohon semula Akreditasi Penuh program berkenaan agar tindakan penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh pihak LUCT dapat dipertimbangkan semula dengan kadar segera.

“Tanpa prejudis, pihak LUCT kali ini perlu lebih bersedia untuk memikul amanah dan tanggungjawab terhadap pelajar dan graduan yang terkesan dengan memastikan kualiti program memenuhi standard yang telah ditetapkan,” katanya.

Kenyataan itu menambah, MQA mengalu-alukan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk pelajar dan graduan.

“Bagi memastikan kualiti pendidikan tinggi terpelihara dan setanding di peringkat global, MQA menegaskan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan dan tanggungjawab sewajarnya.

“Semua institusi pengajian tinggi diharapkan dapat memberikan komitmen yang serius dalam memastikan semua program yang ditawarkan mematuhi aspek jaminan kualiti yang telah ditetapkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya