Lokasi hospital medan ditukar ke Hospital Melaka - Utusan Malaysia

Lokasi hospital medan ditukar ke Hospital Melaka

SULAIMAN Md. Ali ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kempen 'Vax & Win' yang dianjurkan NCT Alliance di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka membatalkan perancangan untuk membangunkan hospital medan di Hospital Jasin, sebaliknya pusat rawatan sementara itu akan dibuka di Hospital Melaka dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, perubahan lokasi dibuat setelah mengambil kira kemudahan fasiliti asas termasuk bekalan elektrik yang diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membangunkan hospital tersebut.

Jelasnya, hospital berkenaan dijangka dibangunkan di dataran parkir Hospital Melaka kerana mempunyai keluasan sesuai.

“Setelah meneliti semula pembangunan ini, kita terpaksa menukar perancangan untuk membangunkan hospital medan di Hospital Melaka atas faktor utama keperluan fasiliti itu termasuklah bekalan elektrik.

“Hospital ini akan dibangunkan di dataran parkir di hadapan lobi utama Hospital Melaka dengan bekalan elektrik akan diambil daripada masjid negeri, Masjid Al-Azim berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan kempen ‘Vax & Win’ yang dianjurkan NCT Alliance Berhad (NCT Alliance) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan akan dilakukan selepas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengumumkan aset ATM di Labuan ditutup, seterusnya dipindahkan ke Melaka.

“Hospital itu ditutup selepas telah mencapai sasaran imuniti kelompok dengan 80 peratus penduduknya berusia 18 tahun dan ke atas telah melengkapkan dua dos vaksin.

“Sekiranya semua kerja-kerja memindahkan barang dapat diselesaikan dalam minggu ini, kita akan terus meminta ATM untuk membinanya secepat mungkin,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri kini hanya menyusun tenaga kerja yang diperlukan dan fasiliti lain sebaiknya.

“Kita jangkakan hospital medan itu nanti akan menempatkan sekurang-kurangnya 100 pesakit bukan Covid-19 untuk mengurangkan kesesakan dalam bangunan Hospital Melaka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya