PETALING JAYA: Tidak mahu melihat orang lain susah sebagaimana dirinya sebelum ini, seorang pengusaha restoran sanggup berkorban tenaga dan wang ringgit dengan menyediakan makanan percuma sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.
Bagi pengusaha restoran Shahrul Nizam Kamal, 35, idea berkenaan tercetus selepas melihat ada individu terpaksa ‘mengikat perut’ makanan ketika negara dilanda penularan wabak Covid-19 awal tahun lalu.
Katanya, dia juga mahu memastikan individu yang berdepan dengan kesusahan tidak bertindak di luar batasan dan mengambil jalan singkat disebabkan makanan atau keperluan asas lain.
” Saya sendiri pernah susah satu ketika dahulu. Apabila melihat ada individu yang tersenyum ketika mengambil makanan ia sesuatu yang indah.
” Tambahan pula, jika saya ada sesuatu yang lebih, mengapa tidak dikongsikan bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sebanyak 2,00 sehingga 1,000 pek makanan disediakan dalam sehari untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan juga makan malam setiap hari di lokasi kedai miliknya yang terletak di Damansara Damai.
Tambah Shahrul Nizam, dia juga memerlukan antara 30 sehingga 100 kilogram (kg) beras sehari untuk memenuhi keperluan harian bergantung kepada keuntungan perniagaan.
Menurutnya selain makanan, individu yang mengalami kesempitan boleh mendapatkan barangan keperluan lain seperti beras di premisnya.
“Selain makanan, individu yang mengalami kesempitan boleh mendapatkan barangan keperluan lain seperti beras di premis syarikat kami Halaman Nurani Sdn. Bhd. (HNSD).
” Syarikat ini ditubuhkan untuk membantu dan meringankan beban lebih ramai golongan yang kurang bernasib baik. Ketika ini lebih daripada 800 keluarga berpendapatan rendah (B40) yang telah terdaftar bersama HNSB bagi menerima bantuan barangan asas dan keperluan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE