Lebih ramai pesakit bukan Covid-19 dihantar ke hospital swasta - Utusan Malaysia

Lebih ramai pesakit bukan Covid-19 dihantar ke hospital swasta

ADHAM Baba
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerajaan akan memperluaskan lagi penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi membolehkan hospital kerajaan terutamanya Hospital Kuala Lumpur (HKL) dapat menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah afirmatif itu dilakukan segera berikutan bilangan pesakit Covid-19 bagi kategori 3 hingga 5 yang hadir atau dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Unit Rawatan Rapi (ICU) khususnya di HKL mencatatkan peningkatan.

Menurut beliau, kerajaan juga akan meningkatkan kapasiti katil ICU dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan yang diperlukan seperti alat bantuan pernafasan di hospital kerajaan dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) seperti Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital UPM dan Hospital UiTM bagi menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

“Daripada keseluruhan kes yang dikendalikan oleh HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit bagi kategori berkenaan, manakala bakinya adalah pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 dan berdasarkan rekod terkini, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima antara 60 hingga 70 orang pesakit Covid-19 dalam tempoh sehari dengan purata tiga pesakit kategori 4 dan 5.

“Mereka memerlukan bantuan alat pernafasan dengan pesakit kategori 5 juga perlu dirawat di ICU. Jumlah kedatangan yang tinggi ini telah ditangani dengan penyediaan dan penggunaan katil tambahan oleh pengurusan HKL.

“Manakala pesakit Covid-19 yang telah stabil dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras dan Institut Perubatan Respiratori bagi membolehkan HKL menerima dan merawat segera pesakit lain,” katanya dalam kenyataan selepas melawat PPV Pangkalan TLDM KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Pengerang di sini, hari ini.

Ujar Dr. Adham, kementerian yang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta Ketua Perkhidmatan Kepakaran juga memutuskan untuk memberi penugasan semula secara sementara kepada pakar perubatan dan anggota paramedik dari negeri tertentu bagi menyokong perkhidmatan di hospital kerajaan dan HPU yang memerlukan petugas kesihatan tambahan bagi merawat pesakit.

Antara langkah afirmatif lain menurutnya adalah mengoptimumkan sumbangan sukarelawan dan pelajar kejururawatan tahun akhir dari Institut Latihan kementerian yang sedang menjalani latihan praktikal bagi membantu petugas kesihatan sedia ada seperti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Sebahagian anggota jururawat berpengalaman yang ditugaskan di PPV dan Pusat Saringan Covid-19 akan ditugaskan semula bagi menyokong penyampaian perkhidmatan di hospital kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, peningkatan itu juga ditangani dengan kerjasama Hospital Sungai Buloh yang kini berstatus Hospital Covid-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS turut mengendalikan sementara pesakit hingga kategori 4 sebelum pesakit dipindahkan ke hospital.

“Kementerian turut bekerjasama dengan HPU dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menerima dan merawat kes pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19. Secara keseluruhan,
penggunaan katil pesakit (termasuk repurpose bed) di Lembah Klang kini mencapai kadar melebihi 85 peratus.

“Menerusi langkah-langkah afirmatif ini, kementerian berharap tekanan tinggi yang diterima oleh pihak hospital untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 akan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa serta negara dapat segera mencapai pemulihan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya