Lebih 10 rumah di Kampung Sulup dilanda banjir kilat, penduduk resah air naik malam ini - Utusan Malaysia

Lebih 10 rumah di Kampung Sulup dilanda banjir kilat, penduduk resah air naik malam ini

ZAINUL Mat Isa bimbang kediamannya di Kampung Sulup, Teluk Kumbar, Pulau Pinang akan dilanda banjir lebih buruk malam ini berikutan hujan masih berlarutan sehingga petang ini disusuli kejadian air laut pasang yang dijangka malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Lebih 10 buah kediaman penduduk di Kampung Sulup, Teluk Kumbar dekat sini dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak pukul 5 pagi ini. 

Keadaan banjir kini mencecah hampir paras betis dan kesemua penghuni difahamkan telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan termasuk perlu berpindah ke tempat selamat. 

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gemuroh, Rosmawati Hashim, berkata, penduduk kini masih berada di kediaman masing-masing dan dinasihatkan lebih berwaspada disebabkan hujan masih lebat. 

“Mereka (penduduk) kini dalam tempoh berjaga-jaga dan kita akan memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa. 

“Ini merupakan kejadian banjir kilat kali kedua tahun ini selepas bulan lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

BEBERAPA buah kediaman penduduk di Kampung Sulup, Teluk Kumbar, Pulau Pinang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak pukul 5 pagi tadi.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu penduduk Kampung Sulup, ula resah dengan kemungkinan kediaman mereka bakal ditenggelami banjir malam ini berikutan hujan tanpa henti dalam tempoh lebih 15 jam lalu. 

Rata-rata penduduk yang ditemui Utusan Malaysia di sini lewat petang ini meluahkan kebimbangan dengan cuaca hujan yang sehingga kini (6.45 petang) masih tidak berhenti termasuk kejadian air laut pasang yang dijangka malam ini. 

Seorang penduduk, Zainul Mat Isa, 60, berkata, dia semakin gelisah melihat keadaan air yang semakin tinggi di kawasan persekitaran kediamannya. 

Menurutnya, kejadian banjir kilat berlaku akibat hujan lebat disusuli kejadian air laut pasang sekitar pukul 10 pagi tadi. 

“Awal petang tadi, air sudah mulai surut di bahagian hadapan luar rumah. Namun, apa yang membimbangkan adalah hujan yang sehingga kini masih tidak berhenti disusuli dengan air laut pasang malam ini. 

“Kami mula menjadi tak senang duduk melihat keadaan air yang masih penuh di bahagian luar kawasan rumah terutama dekat dengan paya,” katanya yang sudah memindahkan kesemua barangan penting di tingkat atas rumah pusaka yang dibina sejak 80 tahun lalu. 

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norlia Che Ros, 56, turut meluahkan kebimbangan sama dan kini berada dalam situasi berjaga-jaga dengan ahli keluarga lain. 

“Risau nanti tak sempat alih perabot dan kelengkapan lain kerana kebiasaannya air akan naik dengan pantas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya