KUANTAN: Sebanyak tiga bot nelayan tempatan kelas C bersama 21 warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang disyaki melanggar syarat sah lesen, kira-kira 37,040 meter timur Kuala Kuantan, semalam.
Pengarah Maritim Pahang, Datuk Amran Daud berkata, semasa rondaan Op Makmur di perairan Pahang, aset Maritim Malaysia mengesan bot-bot tersebut sedang menjalankan aktiviti perikanan secara berkelompok dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, ketika kejadian terdapat juga cubaan melarikan diri sebaik sahaja dihampiri aset Maritim Malaysia.
“Pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot nelayan tempatan tersebut dikendalikan tekong dan awak-awak warganegara Vietnam seramai 21 orang yang berusia antara 19 sehingga 46 tahun.
“Pemeriksaan dokumen berkaitan mendapati ketiga-tiga bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Amran berkata, kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim.
“Pihak penguatkuasaan turut merampas peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 300 kilogram dan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) membolehkan mereka didenda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.- UTUSAN ONLINE