'Lambat lagi, kami mungkin bungkus' - Utusan Malaysia

‘Lambat lagi, kami mungkin bungkus’

NUR AZAREEN JAMIL hanya mampu termenung memikirkan nasib perniagaan butik pengantinnya selepas masih tidak dibenarkan beroperasi berikutan PKP di Zaireen Butik Pengantin di Kampung Pondok, Kangar, Perlis.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pengusaha butik pengantin berdepan risiko ‘bungkus’ jika masih tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh terdekat selepas terpaksa menanggung kerugian besar sepanjang beberapa siri tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nur Azareen Jamil, 39, berkata, pendapatannya terjejas  sehingga 90 peratus selain terpaksa menanggung pelbagai komitmen lain seperti sewa dan sebagainya.

Pemilik Zaireen Butik Pengantin di Kampung Pondok di sini itu berkata, pemberhentian operasi tersebut turut menjejaskan pendapatan pekerjanya yang tidak dapat dibayar gaji.

“Walaupun tidak dapat beroperasi, kami masih mempunyai pelbagai komitmen seperti sewa kedai, pinjaman dan bil untuk dibayar iaitu sekitar RM10,000 sebulan. Saya yakin pengusaha butik yang lebih besar daripada kami mungkin lebih terbeban kerana mempunyai komitmen yang tinggi.

NUR AZAREEN JAMIL membuang habuk pada pakaian pengantin dibutiknya yang masih tidak dibenarkan beroperasi berikutan PKP di Zaireen Butik Pengantin di Kampung Pondok, Kangar, Perlis.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI

“Jika sebelum pandemik, dalam sebulan kami boleh dapat 20 tempahan lengkap set baju pengantin termasuk khidmat jurugambar dan boleh mencapai sehingga dua kali ganda pada cuti hujung tahun. Malah, pendapatan boleh mencecah sehingga RM30,000 sebulan.

“Kami bimbang dengan masa depan butik ini jika masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya dalam tempoh terdekat dan tidak mustahil kami boleh gulung tikar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, Nur Azareen berharap kerajaan dapat membenarkan sektor tersebut beroperasi terutamanya di Perlis yang sudah beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, apabila akad nikah dibenarkan, pasangan akan mencari baju pengantin namun malangnya butik tidak beroperasi.

“Sekurang-kurangnya benarkan mereka (pasangan pengantin) menempah baju pengantin untuk majlis tersebut walaupun tidak dapat melangsungkan kenduri kahwin.

“Kami sebagai pengusaha bukanlah terlalu mengharap bantuan kerajaan tetapi kami mahu kerajaan menguruskan situasi Covid-19 ini dengan cekap supaya semua sektor dapat dibuka semula seperti sediakala,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya