Kuota guru takmir dikaji, agihan elaun penuh hingga akhir tahun ini - Utusan Malaysia

Kuota guru takmir dikaji, agihan elaun penuh hingga akhir tahun ini

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal memperhalusi semula kuota guru takmir yang sedia ada ketika ini dengan nisbah jumlah masjid dan surau seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika memberi jaminan itu berkata, ini termasuk melebar luas keperluan di pelbagai agensi.

“Setelah dinilai semula kuota, guru takmir akan boleh mengajar di agensi lain seperti institusi kepenjaraan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Antidadah Kebangsaan,” katanya ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Konvensyen Murabbi Ummah Peringkat Kebangsaan 2021 secara maya disertai lebih 400 peserta di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah. Ketika ini, terdapat seramai 4,000 guru takmir di seluruh negara.

Statistik terkini Jakim melaporkan sejumlah 6,507 buah masjid di Malaysia dengan Sabah paling banyak, manakala 18,253 buah surau, sebahagian besarnya di Selangor.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, hasil penilaian kembali bilangan kuota yang ideal itu akan membolehkan pihak Jakim melaksanakan penambahan guru takmir selaras kumpulan sasaran.

“Ini mampu memenuhi keperluan semasa dan kerajaan hari ini akan terus komited pelihara kebajikan murabbi ummah dengan memastikan inisiatif diberikan secara berterusan,” katanya.

Beliau memberi contoh elaun guru takmir sebanyak RM900 yang dibayar penuh sejak Mac lalu sehingga akhir tahun ini sama ada kelas pengajian dapat dilaksanakan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau mengesyorkan mereka untuk beralih dengan melaksanakan kelas secara atas talian bagi meneruskan usaha pengajaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Kebajikan mereka juga ujarnya, dipastikan Jakim dengan diberi bayaran khas RM500 secara ‘one-off’ melibatkan sekali semua imam, bilal dan siak berjumlah 27,304 penerima tahun ini.

Kerajaan juga kata Zulkifli, turut membuat caruman sebanyak RM232.80 seorang bagi pakej perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial yang dilancarkan pada 31 Jun lalu.

“Jakim telah dan sedang berusaha sedaya mungkin menyantuni dan membantu golongan murabbi ummah ini yang sedikit sebanyak terjejas pendapatan ekoran isu Covid-19,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan Persekutuan telah memperuntukan RM100 juta kepada 520 institusi pendidikan agama termasuk pondok, pusat tahfiz dan sekolah agama rakyat.

Pada tahun ini juga, katanya, kerajaan membiayai elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta aktivitinya berjumlah RM481 juta disalur melalui pihak berkuasa agama negeri.

Agihan tersebut tambah beliau, sudah dibayar dalam tiga fasa iaitu pada Januari, April dan terbaharu, bulan ini dengan membabitkan keseluruhan 34,900 guru KAFA di seluruh negara.

Peruntukan besar itu ujarnya, menunjukkan komitmen kerajaan dalam meneruskan agenda pendidikan Islam dan keprihatinan Jakim terhadap kebajikan tenaga pengajar KAFA ketika ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya