PASIR GUDANG: Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pemprosesan minyak sawit di kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini dikompaun RM4,000 kerana melepaskan efluen tidak terawat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Johor dalam satu kenyataan berkata, aktiviti itu dikesan ketika JAS Cawangan Pasir Gudang menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan pencemaran yang dilakukan semalam.
Katanya, penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan pihak premis mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya serta mematuhi Akta 342 semasa tempoh Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.
“Hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati sebuah premis berasaskan aktiviti pemprosesan minyak sawit gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
“Dua tawaran kompaun bernilai RM4,000 telah dikeluarkan dengan serta-merta atas kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, persampelan efluen telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE