Kibar bendera putih dipandang seperti pencuri - Utusan Malaysia

Kibar bendera putih dipandang seperti pencuri

Terdesak mendorong keluarga Siti Azzufarinah mengibarkan bendera putih di kediaman mereka di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ibu tidak dapat berjalan dan ayah pula baru disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada hujung April lalu.

Tidak cukup dengan itu, dua orang anak buahnya turut menghidap penyakit. Anak buah berusia 10 tahun menghidap kanser otak dan adiknya yang berusia tiga tahun pula menghidap celebral palsi serta epilepsi (sawan).

Tatkala berkongsi cerita dan keperitan hidup mereka sekeluarga, Siti Azzufarinah Mohd Jaafar,28, dilihat cuba menahan sebak kerana terasa bebanan yang ditanggung keluarga mereka sangat berat.

Siti Azzufarinah menunjukkan keadaan bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang

Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, pandemik Covid-19 memang menguji kehidupan mereka sekeluarga.

Mereka bukan sekadar diuji dengan kehilangan kerja, mereka turut dibebani dengan kos rawatan perubatan yang tinggi.

“Dalam tempoh pandemik ini, dua anggota keluarga kami disahkan menghidap penyakit. Anak sulung abang saya menjalani pembedahan akibat kanser otak pada tahun lalu manakala, bapa yang berusia 70 tahun pula baru disahkan menghidap penyakit buah pinggang.

“Penyakit bapa ini hanya diketahui semasa dia ditahan akibat positif Covid-19 pada awal April. Sebaik disahkan positif bapa terus dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas yang teruk. Dalam keluarga, hanya bapa seorang disahkan positif,” katanya ketika ditemui semalam.

Ceritanya lagi, selama seminggu bapa bergantung kepada alat bantuan pernafasan kerana jangkitan dihidapi adalah tahap lima dan bapa ditahan di hospital selama 33 hari. Sepanjang proses itulah baru mereka tahu kedua-dua buah pinggang bapanya sudah rosak.

Siti Azzufarinah berkata, ibunya yang menghidap kanser rahim pula terjatuh di dapur rumah yang sudah usang bersama-sama dengannya. Selepas itu, ibu mengalami bengkak kaki dan kini terpaksa berjalan menggunakan bantuan tongkat empat kaki.

Katanya, bebanan kos perubatan yang tinggi tidak dapat ditampung oleh mereka tujuh beradik. Setiap bulan kos rawatan bapa untuk menyuci darah sahaja hampir RM2,000 kerana setiap kali rawatan mereka perlu membayar RM270.

Kos perubatan dan keperluan anak buah yang menghidap epilepsi dan celebral palsi pula kira-kira RM1,000 sebulan.

Anak bongsu daripada tujuh beradik ini berkata, dia dan suaminya hanya berniaga ikan dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka berjual ikan melalui perkhidmatan penghantaran tapi, sekatan pergerakan menyebabkan mereka sukar untuk menjalankan perniagaan. Adik-beradik lain pula tidak bergaji tetap.

Usaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat Sabah (PZS) dipandang sepi dan tiada maklum balas sehingga kini.

Berikutan itu, Siti Azzufarinah dan empat adik beradik yang tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Sembulan memutuskan menaikkan bendera putih namun, pandangan jiran sekeliling menyebabkan dia menurunkan semula bendera tersebut.

“Semasa kami naikkan bendera, jiran-jiran pandang semacam seolah-olah kami ini mencuri. Menaikkan bendera sudah cukup memalukan dan dipandang serong oleh jiran-jiran membuatkan mereka menurunkan semula bendera tersebut.

“Syukur Alhamdulillah paparan kami dalam media sosial mendapat perhatian kerana ada juga pihak yang datang memberikan sumbangan bakul makanan. Bantuan itu sedikit sebanyak meringankan bebanan kami sekeluarga,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya