Ketum ayam tidak sesuai untuk tilapia - Utusan Malaysia

Ketum ayam tidak sesuai untuk tilapia

ketum ayam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia meminta masyarakat khasnya penternak tilapia agar tidak memberikan ketum ayam sebagai bahan makanan untuk ikan berkenaan.

Menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebooknya, agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu memaklumkan, khasiat daripada tumbuhan ini juga tidak sesuai untuk ternakan berkenaan.

“Kandungan protein dalam ketum ayam didapati hanya ada 18 peratus manakala keperluan protein ideal bagi ternakan tilapia pula adalah lebih tinggi iaitu sekitar 28 peratus,” kata jabatan itu.

Begitu juga ujarnya, kandungan serat yang amat tinggi terkandung dalam tumbuhan itu sekitar 16 peratus iaitu melebihi had boleh diterima ikan secara kelaziman hanya tujuh peratus.

Secara umum, tambah jabatan itu, ikan jenis omnivor atau boleh memakan haiwan dan tumbuhan secara serentak seperti tilapia merupakan organisma monogastrik kerana ada satu perut.

Justeru, ikan berkenaan sebenarnya dianggap sebagai tidak efisien menghadam serat yang tinggi selaras apa disarankan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa Bersatu (FAO).

Dianggarkan Malaysia menghasilkan lebih 32,000 tan tilapia merah bernilai sekitar RM333 juta serta hampir 4,000 tan tilapia hitam bernilai lebih RM29 juta pada sepanjang tahun lepas.

Ketum ayam atau nama saintifiknya, Trichanthera gigantea, merupakan pokok pelbagai fungsi dan tumbuh semula jadi di rantau Amerika Selatan dalam suasana ekosistem iklim tropika.

Pohon ini kemudian banyak ditanam di kawasan hutan Filipina, Kemboja dan Vietnam kerana kesesuaian suhu dengan boleh mencapai ketinggian maksimum yang mencecah 15 meter.

Daunnya yang bersaiz panjang 26 sentimeter dan lebar 14 sentimeter pada kebiasaannya dijadikan bahan tanaman makanan untuk ternakan babi, arnab dan juga haiwan ruminan lazim.

Spesies renek itu tiada kena mengena dengan pokok ketum yang disalah guna untuk ketagihan narkotik, sebaliknya ia diberikan nama sedemikian kerana sesuai dijadikan dedak ayam.

Tumbuhan tersebut namun amat popular dalam kalangan penternak ayam di negara ini kerana dianggap makanan alternatif terbaik dan bersesuaian ekoran kandungannya kurang lemak.

Perak muncul satu-satunya negeri di Malaysia yang amat menggalakkan petani untuk menanam pokok ketum ayam secara komersial skala besar dengan satu polibeg boleh dijual RM20. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya