SEREMBAN: Sebutan semula kes pendakwaan selebriti popular Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya atas pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai permaidani di Nilai ditangguhkan sekali lagi pada 12 Ogos depan.
Peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan Noor Neelofa dan Muhammad Haris Mohd. Ismail berkata, kes itu sepatutnya disebut semula esok (15 Julai) tetapi ditangguhkan sekali lagi oleh pihak mahkamah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Seremban.
“Mahkamah telah menangguhkan tarikh pengurusan kes ini (sebutan semula kes Neelofa dan suami) pada 12 Ogos depan atas alasan PKPD masih dikuatkuasakan di Seremban,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu.
Noor Neelofa kemudiannya dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 oleh mahkamah atas pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk check in atau menulis secara manual.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk check in atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021.- UTUSAN ONLINE