KOTA KINABALU: Tidak lagi boleh menuding jari menyalahkan rakyat tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) kerana ketika ini tiada apa lagi yang orang awam boleh lakukan.
Itu kenyataan Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Gleneagles, Dr. Timothy William mengenai peningkatan kes harian Covid-19 di negara ini yang mencecah 8,868 kes.
Beliau berkata, orang ramai sudah melakukan yang terbaik iaitu mematuhi SOP pemakaian pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan duduk di rumah bagi mereka yang tidak bekerja.
Mereka yang perlu keluar bekerja juga turut mematuhi SOP ditetapkan jadi, tiada apa lagi orang ramai boleh buat.
Bagaimanapun katanya, situasi di Sabah tidak sama seperti di Semenanjung Malaysia kerana kes di Sabah kekal antara 100 hingga 300 kes setiap hari sejak beberapa bulan ini berbanding di Semenanjung yang situasinya agak berbeza.
“Saya tidak boleh mengulas keadaan yang berlaku di Semenanjung kerana kita mempunyai situasi yang berbeza dan cara berlainan untuk menangani jangkitan Covid-19.
“Di Selangor dan Kuala Lumpur, populasi penduduk terlalu padat dan mereka tinggal dalam sebuah bandar yang kecil manakala, di Sabah, penduduk tinggal di kawasan yang lebih luas dan tidak tertumpu di sebuah bandar sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih membantu menangani penularan wabak Covid-19.
Tanpa pelaksanaan PKP, kes yang ada sekarang mungkin boleh meningkat kepada dua tau tiga kali ganda kerana langsung tiada sekatan pergerakan orang ramai.
“Situasi ini sangat hipotetikal kerana kalau ada yang menyatakan kes tinggi kerana PKP tidak berkesan dan tidak berjaya menurunkan kes tapi perlu diingat, jika tiada PKP, kes di negara ini mungkin lebih tinggi daripada kes yang ada sekarang.
Timothy berkata, pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan PKP bagi mengawal keadaan agar orang ramai tidak keluar sesuka hati dan kemudian dijangkiti.- UTUSAN ONLINE