KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan perbicaraan kes Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Ir. Mansor Musa terhadap 58 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM9.22 juta, dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.
Ini bermakna, Mansor akan turut dibicarakan secara bersama di mahkamah itu terhadap 106 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan nilai melebihi RM11
juta.
Hakim Rozina Ayob menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke negeri berkenaan.
Mahkamah berpuas hati bahawa pertuduhan yang dihadapi tertuduh di sini mempunyai kaitan dengan pertuduhan di Pulau Pinang.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas alasan kedua-dua perbicaraan melibatkan dokumen dan saksi-saksi yang sama.
Sementara itu, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan tersebut. Mahkamah kemudian menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.
Pada 15 Julai lalu, Mansor, 58, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 58 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.22 juta.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke- 42, tertuduh didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, pembelian saham, memindahkan wang dan pembayaran kepada kontraktor melalui beberapa buah syarikat.
Bekas Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang merupakan pengerusi sebuah koperasi hartanah itu boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua- dua sekali.
Sementara bagi pertuduhan 43 hingga ke 58, Mansor didakwa menerima, mengguna dan memindahkan wang daripada sebuah syarikat yang merupakan hasil daripada
aktiviti haram.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram
2001.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta mana-mana lebih tinggi jika sabit
kesalahan.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan cawangan Starparc Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC di sini antara Disember 2008 hingga Mei 2015 membabitkan nilai RM9.22 juta.- UTUSAN ONLINE