PETALING JAYA: Purata tahunan kemasukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) baik daripada institusi awam mahu pun swasta masih belum mencapai 50 peratus.
Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM) Amir Hamzah Md. Isa berkata, salah satu faktor mengapa peratusan kemasukan itu berada di tahap rendah adalah disebabkan ada lepasan sekolah yang terus terjun ke alam pekerjaan.
Katanya, kerajaan sebelum ini menyasarkan kemasukan pelajar sebanyak 55 peratus menjelang tahun 2025 namun purata tahunan dijangka mencatatkan peratusan lebih rendah ekoran pandemik Covid-19.
“Walaupun dalam tempoh pandemik ini ramai lepasan sekolah yang bersemangat merancang hala tuju pengajian mereka, hakikatnya jumlah kemasukan pelajar makin berkurangan. Kadar peratusan secara purata hanya sekitar 46 hingga 48 peratus setiap tahun.
“Sedangkan di negara-negara lain, ada yang mencapai peratusan sehingga 70 ke 80 peratus, tapi kita tak sampai 50 peratus. Bumiputera pun hanya sekitar 28 peratus. Antara sebab kurang kemasukan pelajar ke IPT adalah ada yang masuk terus ke sektor pekerjaan,” katanya dalam sidang media secara maya.
Pada masa sama, Amir turut mendedahkan peratusan pengambilan pelajar di IPTS merosot antara 30 hingga 60 peratus disebabkan Covid-19.
“Skala kerosakan yang dilakukan pandemik ini cukup besar, merentasi semua sektor. Ia menyebabkan kemasukan pelajar berkurangan antara 30 hingga 60 peratus, ada yang ekstrem sampai jatuh 90 peratus.
“Ada IPT yang tidak bersedia, sebab itu kemasukan pelajar mereka jatuh teruk, ada yang lebih bersedia hadapi pandemik dan masih dapat kemasukan tapi secara umumnya bilangan kemasukan tetap jatuh,” katanya.
Katanya lagi, trend itu jelas membimbangkan kerana ia akan memberi kesan kepada keperluan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai jenis industri pada masa akan datang.
“Sebab itu, kita perlu sediakan pool of talent yang mencukupi, kalau tidak pelabur akan lari sebab kalau nak ambil talent dari luar negara, kosnya tinggi dan ini akan menjejaskan masa depan negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE