KOTA KINABALU: Setelah lebih sebulan ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akhirnya operasi kedai perabot mula dibenarkan buka di negeri ini.
Pembukaan kedai perabot memberi kelegaan kepada pegusaha perabot yang begitu terkesan apabila operasi kedai diarahkan tutup.
Pengurus Cawangan CF Chan Furniture di Putatan, Ejoris Uri, 42 berkata, perniagaan sangat terjejas apabila premis mereka tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP 3.0. Malah, pekerja juga terkesan kerana terpaksa diberikan cuti tanpa gaji.
“Kami sentiasa ternanti-nanti pengumuman yang membenarkan operasi kedai perabot dibenarkan. Kami rasa lega apabila Sabah mula beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan membenarkan lebih banyak sektor dibuka.
“Jika dahulu hampir setiap hari memang ada pelanggan yang berkunjung dan membeli barangan di sini. Walaupun ini bukan barangan perlu tapi, peralatan bilik tidur, dapur dan ruang tamu sentiasa diperlukan oleh pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, pasaran perabot tidak banyak berubah sama ada sebelum mahupun semasa pandemik Covid-19 kerana secara purata bilangan pelanggan tetap sama.
Namun, semasa perniagaan ditutup memang langsung tiada pendapatan kerana perabot tidak boleh dijual secara dalam talian kerana ia memerlukan khidmat penghantaran.
Pengurus Perabot Matahari, Putatan, Aaron Lim turut melahirkan rasa lega dengan peralihan Sabah ke Fasa 2 PPN kerana lebih banyak sektor ekonomi dibuka.
Menurut beliau, pembukaan semula operasi kedai perabot membolehkan pelanggan mereka kembali berkunjung ke kedai tersebut.
Penutupan perniagaan sejak sebulan lalu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian yang besar kerana kedai perabot itu antara tumpuan pembeli di kawasan Putatan.
“Sebelum pandemik melanda, boleh dikatakan setiap hari kami mempunyai 30 orang pelanggan tapi sejak PKP dilaksanakan, boleh dikatakan pelanggan berkurang kepada separuh. Perniagaan memang terjejas sejak pandemik Covid-19,” katanya.
Menurut Aaron, penutupan premis bukan hanya merugikan perniagaan tetapi juga meletakkan pekerja dalam keadaan yang sukar kerana mereka hanya menerima gaji pokok. Kebanyakan pekerja terutama pasukan jualan bergantung kepada komisen.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Bijak Sabah, David Chan berkata, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi semasa Fasa 2 PPN akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi di negeri ini.
Peralihan ini akan menggerakkan semula aktiviti ekonomi dalam sektor-sektor yang mula dibenarkan beroperasi sejak semalam. -UTUSAN ONLINE