KOTA KINABALU : Keseronokan dua kanak-kanak bermain layang-layang terhenti apabila salah seorang daripada mereka maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Tembiluk, Mengkabong, Tuaran, kira-kira 35 kilometer dari sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa iaitu kanak-kanak berusia 10 tahun dan seorang rakannya yang berusia 12 tahun dipercayai leka bermain layang-layang di kawasan lapang bekas sawah padi sebelum insiden menyedihkan itu berlaku.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd. Hamizi Halim berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa cuba menurunkan layang-layang yang tersangkut di tiang elektrik berhampiran tempat mereka bermain layang-layang.
Difahamkan, mangsa menggunakan sebatang besi untuk mengait layang-layang yang tersangkut itu dan kemudian terkena renjatan elektrik dan mangsa terus pengsan di tempat kejadian.
Insiden tersebut dimaklumkan kepada bapa mangsa oleh adik iparnya yang terlihat mangsa sedang terbaring di kawasan lapang itu dalam keadaan separuh badan melecur.
“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa sedang mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Tuaran. Mayat mangsa dibawa ke unit forensik bagi menjalani saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh.
Mohd. Hamizi turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak supaya mereka tidak terdedah kepada aktiviti boleh mengancam keselamatan.-UTUSAN ONLINE