KUALA TERENGGANU: Deretan premis menjual keropok lekor di Kampung Losong di sini dahulunya menjadi tumpuan ramai pengunjung, namun, kini sambutannya suram akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keadaan itu menyebabkan seramai 12 pengusahanya terpaksa menanggung kerugian lebih 80 peratus setiap hari berikutan kemerosotan pelanggan yang sebahagian besarnya merupakan pelancong.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pemilik Ad Six Keropok, Kasmani Mohd. Ali, 56, berkata, rata-rata mereka kini makin terhimpit dengan jualan bersih sekadar RM50 sehari, jauh berbeza dengan situasi sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Katanya, peningkatan harga barangan mentah seperti ikan, tepung sagu dan cili turut menambahkan lagi bebanan hingga terpaksa menagih duit ahli keluarga demi meneruskan kelangsungan perniagaan warisan.
“Dahulu, ramai orang luar singgah ke sini selepas mereka selesai melakukan aktiviti mencandat sotong mahu pun bercuti di pulau, tetapi, sekarang, kami hanya mengharapkan penduduk setempat untuk membeli keropok lekor.
“Hasil jualan sangat perlahan dan walaupun jumlahnya mampu mencapai sehingga RM500 sehari pada hujung minggu, namun, selepas ditolak modal dan upah pekerja, untung bersih cuma RM50 sahaja,” katanya.
Menurut Kasmani, jualan yang jatuh merudum mendorongnya mengurangkan kuantiti ikan selayang dan tamban bagi penghasilan hidangan tradisi Terengganu itu kepada 50 kilogram berbanding sebelum ini sebanyak 400 kilogram sehari.
Katanya, biarpun rugi besar, tetapi perniagaan warisan yang diusahakan ibunya sejak 1995 itu tetap perlu diteruskan kerana menjadi punca pendapatan utama keluarga.
Sehubungan itu, dia berharap agar pergerakan rentas negeri dapat dibenarkan semula bagi memulihkan kembali jualan rata-rata pengusaha yang terjejas.- UTUSAN ONLINE