Jual pokok hiasan demi kelangsungan hidup - Utusan Malaysia

Jual pokok hiasan demi kelangsungan hidup

MASRIWATEE Ariffin menunjukkan antara pokok hiasan yang dijualnya bagi menambah pendapatan selepas perniagaan keropok kupang merosot akibat pandemik Covid-19 di Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Usahawan keropok kupang terkenal di Kampung Sungai Melayu, di sini terpaksa menceburi bidang perniagaan baharu selepas perniagaan sedia ada terjejas teruk akibat pandemik Covid-19

Masriwatee Ariffin, 51, memberitahu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada Mac tahun lalu, perniagaannya telah merosot sehingga berkurangan lebih daripada 50 peratus.

Katanya, perniagaan yang terjejas adalah melibatkan produk jualannya iaitu keropok kupang, belacan dan ikan kering.

“Kami berniaga di kawasan kampung yang terletak agak jauh daripada pusat bandar, jadi apabila PKP dilaksanakan memang tiada pelanggan yang masuk kampung ini.

“Walaupun perniagaan kami turut dijalankan secara dalam talian, sama ada melalui laman sosial atau aplikasi telefon, tidak dinafi ia terjejas dengan teruk sekali.

“Bagi memastikan tidak putus punca pendapatan, saya mengambil geran bantuan perniagaan daripada kerajaan dan digunakan untuk memulakan perniagaan lain,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Jelas Masriwatee, dia yang menyambung perniagaan warisan daripada kedua-dua orang tuanya itu membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan nurseri menjual pokok-pokok hiasan.

“Ketika menyedari perniagaan makanan semakin kurang pelanggan, saya memulakan perniagaan pokok hiasan kerana melihat terdapat permintaan terhadap produk tersebut.

“Alhamdulillah percubaan berjaya dan kini setelah setahun lebih PKP dilaksana, perniagaan pokok hiasan ini dapat membantu menambah pendapatan yang berkurangan daripada produk jualan asal,” ujarnya.

Dia yang telah mengambil alih perniagaan keropok kupang itu sejak lebih 20 tahun lalu bagaimanapun memberitahu, walaupun sudah menceburi bidang perniagaan baharu, perniagaan sedia ada akan tetap diteruskan.

“Perniagaan keropok kupang warisan ini telah diusahakan ibu dan arwah bapa saya sejak tahun 1980-an, jadi, walaupun ia terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini, saya akan berusaha untuk memastikan legasinya dikekalkan.

“Jadi saya berharap apabila wabak ini sudah berlalu, perniagaan keropok kupang akan kembali pulih dan dalam masa sama, saya akan meneruskan perniagaan pokok hiasan ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya