KLANG: Seorang penganggur mengambil inisiatif menjual peria goreng selepas tidak lagi bekerja sejak sebulan lalu akibat syarikat tempat dia bekerja diarahkan menghentikan operasi sementara waktu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pekerja sebuah syarikat yang diarahkan bercuti oleh majikan dari Kampung Perepat Kapar, Mohd. Shahasri Misngaini, 34, berkata, demi mencari rezeki untuk menyara keluarga dia menghasilkan peria goreng jenama Peria Goreng Crispy D & D untuk dipasarkan.
“Saya mendapat idea menjual peria goreng perisa asli,cheese dan pedas selepas syarikat mengarahkan kesemua pekerja bercuti dan menyebabkan pendapatan jadi tidak terjejas. Mulanya saya goreng untuk dimakan sahaja, disebabkan PKP timbul pula idea untuk menjadikannya satu bisnes.
“Saya ada isteri dan tiga anak lelaki yang masih kecil. Bisnes peria goreng ini kini mampu menampung kos kehidupan keluarga saya, sekarang,” katanya kepada pemberita di rumahnya hari ini.
Mohd.Shahasri berkata, peria goreng yang dijual dengan harga RM10 sebekas mampu mencecah 500 bekas sebulan.
Dia yang dibantu isteri, Nurhidayah Shamsuddin, 34, berkata, selain menghantar sendiri pesanan di sekitar Lembah Klang dia turut menerima pesanan dari Kedah dan Sarawak.
Bagaimanapun, perniagaannya mengalami masalah bekalan peria yang tidak mencukup menyebabkan pesanan daripada ejen terganggu.
“Semasa PKP pergerakan dari Kapar ke Pasar Borong Selayang atau Klang melebihi jarak 10 kilometer dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyebabkan saya terpaksa mengharapkan pembekal tempatan yang sering keputusan bekalan.
“Pada masa sekarang selain dijadikan gulai, telah ramai peniaga lain menjual peria goreng cheese dan yang biasa. Ini yang menyebabkan bekalan sering tidak cukup,”katanya.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan peria goreng yang enak dan rangup boleh melayari akaun Facebook Peria Goreng Crispy D & D atau menghubunginya di talian 016-2808099.- UTUSAN ONLINE