KUALA LUMPUR : Sumbangan wang tunai sebanyak RM7,500 telah diserahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap 30 individu yang terkesan akibat Covid-19.
Kesemua mereka yang terjejas turut menerima bekalan makanan bagi meringankan beban mereka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sumbangan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka sepanjang tempoh sukar ini.
“Sebelum ini saya telah mengarahkan ketua-ketua polis balai di dalam Daerah Dang Wangi agar mengenal pasti individu yang memerlukan bantuan di kawasan mereka.
“Semua mereka yang telah dikenal pasti kemudiannya dijemput hadir pada hari ini untuk menerima sumbangan malah kami turut menyediakan sebuah van untuk mengambil serta menghantar mereka pulang,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja selesai program tersebut hari ini.
Tambah Mohamad Zainal, bantuan yang disampaikan itu merupakan hasil kutipan sumbangan orang ramai kepada tabung surau di IPD Dang Wangi.
“Selain itu, kami juga menerima sumbangan daripada orang ramai yang datang menunaikan solat serta daripada individu dan memanjangkannya agar dapat membantu golongan yang memerlukan.
“Pada hari ini kami memperuntukkan kira-kira RM10,000 untuk membeli barangan keperluan seperti beras, telur, minyak dan gula termasuk wang tunai sebanyak RM250 kepada setiap penerima,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal turut memaklumkan, IPD Dang Wangi juga mempunyai kemudahan van jenazah yang boleh digunakan oleh mereka yang menetap di sekitar daerah Dang Wangi sekiranya berlaku kematian.
“Sekiranya berlaku kematian dan memerlukan van jenazah, bolehlah buat permohonan kepada pihak pengurusan surau IPD Dang Wangi,” katanya- UTUSAN ONLINE