KUALA LUMPUR: Cef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan menyelar segelintir individu yang bersikap tamak mengambil sumbangan atau bantuan makanan secara berlebihan tanpa memikirkan orang lain yang lebih memerlukan.
Chef Wan menerusi perkongsian di Instagram lantang menyuarakan teguran terhadap perilaku individu-individu berkenaan yang disifatkannya jijik dan memalukan.
“Saya pernah terlibat mengumpul dana serta menyerahkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik dan saya melihat sendiri bagaimana sesetengah individu salah guna sumbangan yang diserahkan.
“Jika sikap manusia ini tamak dan mementingkan diri sendiri mereka tidak akan rasa segan dan malu untuk mengambil sebanyak yang boleh.
“Ini adalah perangai yang jijik dan memalukan,” tulisnya panjang.
Tambah Chef Wan, lebih memalukan apabila ada segelintir yang tidak bertanggungjawab, mengambil sumbangan dalam kuantiti yang banyak dan menjual semula dengan separuh harga.
“Apabila baca sampai ada pergi jual di kedai runcit setengah harga, sangat tidak beretika.
“Apa sebenarnya yang telah berlaku? Saya tidak dapat bayangkan jika peperangan atau malapetaka yang besar berlaku. Macam mana rakyat negara ini nak hidup?
“Tengok sahaja berapa ramai yang tamak dan mementingkan diri di dunia ini pun.
“Benarkan diri kita menjadi individu yang suka memberi berbanding yang suka meminta-minta, apatah lagi melakukan perkara yang tidak baik sesama umat manusia yang lain.
“Perangai mereka ini sangat memalukan!” tambahnya lantang.- UTUSAN ONLINE