Ingkar SOP pembinaan, kilang diarah tutup kali kedua - Utusan Malaysia

Ingkar SOP pembinaan, kilang diarah tutup kali kedua

PEGAWAI Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang bertindak menutup serta-merta tapak pembinaan sebuah kilang di Paloh Hinai di Pekan, Pahang selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Gara-gara ingkar dengan arahan penutupan tapak pembinaan sejak sebulan lalu, sebuah kilang di Paloh Hinai, dekat sini, sekali lagi diberi notis penutupan kerana masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang telah mengarahkan kontraktor terlibat menutup operasi serta-merta selepas menyerbu tapak pembinaan itu, di sini semalam.

Pengurus CIDB Pahang, Shahril Mohd. Poad berkata, hasil siasatan awal mendapati kontraktor terbabit masih gagal mengemukakan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain beberapa kesalahan lain.

“Notis penutupan operasi pembinaan kilang itu sudah dikeluarkan pada 13 Jun lalu kerana didapati beroperasi tanpa kelulusan.

“Kita telah membuat pemantauan di lokasi sama dan mendapati kerja-kerja pembinaan di kilang itu masih berjalan, jadi pihak kami mengeluarkan sekali lagi notis penutupan.

“Selain itu, turut diberikan sembilan notis arahan hadir kepada kontraktor utama dan subkontraktor serta notis minta maklumat mengenai projek yang dijalankan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhirnya operasi penguatkuasaan bersepadu bersama beberapa agensi lain negeri Pahang di sini semalam.

Operasi itu membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Pahang, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang dan Unit Penguatkuasaan Kerajaan Pahang.

Selain itu, Shahril memberitahu, JKKP turut mengeluarkan dua notis iaitu notis penggunaan perancah sebagai platform kerja iaitu membabitkan larangan penggunaan perancah dan notis pembersihan.

“JTK pula mengeluarkan notis kesalahan mengikut Seksyen 24 D Akta 446 JTK iaitu tiada perakuan penginapan pekerja dan JKNP mengeluarkan kompaun kerana tiada kelulusan beroperasi.

“Beberapa pekerja juga dikenakan kompaun kerana gagal mengimbas MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka dan hidung,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau lagi, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebanyak lapan tapak bina di negeri ini diarah tutup kerana beroperasi tanpa kelulusan dan melakukan kesalahan lain.

“Rata-rata projek pembinaan di negeri ini tidak beroperasi, hanya beberapa projek yang menjalankan kerja kritikal sahaja adalah dibenarkan antaranya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek penyelenggaraan jalan raya dan kerja melibatkan elektrik atau di premis kritikal seperti hospital serta jabatan kerajaan yang berkaitan dengan pematuhan SOP,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya