KUALA LUMPUR: Keceriaan pelakon cantik, Elvina Mohamad bersama dua rakannya bertukar ngeri apabila sesi live Instagram (IG) antara mereka semalam diceroboh individu gila seks yang tanpa segan silu menunjukkan kemaluannya di hadapan khalayak ramai.
Elvina berkata, dia yang masih trauma tidak sedikit pun menjangkakan kehadiran individu tidak diundang itu memandangkan sesi live tersebut hanya disertai mereka yang diterima masuk sahaja.
“Seorang daripada rakan kami komen minta nak join live, jadi Zawa (rakan) pun terima permintaan dari dia.
“Tak sangka yang masuk adalah orang lain, individu yang tak bertanggungjawab yang ceroboh live kami dengan menunjukkan a** dia!” tulisnya di IG.
Susulan kejadian itu, pelakon drama Takdir Yang Tertulis ini menasihatkan kepada pengguna IG agar berhati-hati ketika membuat live di platform tersebut.
“Ya Allah, masih terkejut dengan apa yang terjadi tadi.
“Jadi kepada sesiapa yang rajin buat live kebelakangan ini sila berjaga-jaga dan berhati-hati, sebab El dapat maklumat ini bukan kali pertama individu tersebut ceroboh live orang.
“Kepada individu yang tak bertanggungjawab tersebut, media sosial ini bukan tempat untuk melepaskan nafsu ya. Sila lah berhenti buat benda tidak senonoh itu! Engkau dah kenapa!” tulisnya lagi.
Situasi ‘seram’ itu turut mengundang reaksi rakan artis. Antara yang menulis di ruangan komen adalah pelakon, Ramona Zamzam yang turut bersimpati dengan kejadian malang yang menimpa Elvina.
“Ya tuhanku, babe mesti awak murung malam ini,” tulisnya.
Dalam pada itu, pengguna IG, aidaafiyah menyarankan kepada Elvina agar segera membuat laporan atas kebiadaban individu berkenaan.
“Laporkan biar kena tangkap yang tidak bertanggungjawab itu. Biadab betul la,” komennya. -UTUSAN ONLINE