DUNGUN: Seorang ibu kepada empat anak terpaksa menyara keluarganya dengan bekerja di stesen minyak selepas suaminya mengalami gangguan saraf di kepala sejak setahun lalu.
Che Rahana Che Ngah, 40, dari Kampung Pinang Merah, Paka yang memikul tugas sebagai ketua keluarga, bagaimanapun buntu kerana suaminya, Mohd Khairudin Abdullah, 41, kini diserang angin ahmar, akhir bulan lalu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan suaminya lumpuh separuh badan dan tidak boleh bercakap sekali gus memaksanya mengambil cuti panjang untuk menjaganya.
“Sebelum ini, walaupun suami tidak bekerja kerana gangguan memori, tetapi dia masih boleh berjalan dan menguruskan diri, jadi saya dapat keluar mencari rezeki dengan suami dipantau anak-anak yang berusia lima hingga 16 tahun di rumah.
“Sekarang suami terlantar dan memerlukan penjagaan rapi, kalau saya tidak bekerja macam mana mahu menyara keluarga termasuk belanja dapur, kos rawatan serta sewa rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.
Che Rahana berkata, dia terpaksa bergantung harap kepada bantuan adik-beradik dan pemimpin masyarakat untuk perbelanjaan keluarganya bulan ini termasuk pembelian susu dan lampin pakai buang suaminya yang mencecah lebih RM800 di samping bayaran rumah sewa RM280.
Katanya, permohonan pencen ilat suaminya yang merupakan juruteknik di syarikat minyak dan gas pernah diuruskan majikannya, namun ditolak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana masalah dokumen tidak lengkap.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pinang Merah, Che Wan Mustaffa Che Wan Kaman berkata, sebuah katil hospital sudah disumbangkan untuk keselesaan Mohd. Khairudin di samping turut memohon bantuan Tabung Darul Iman untuk bayaran rawatan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi permohonan rumah.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Che Rahana di talian 019 -3026604 atau membuat sumbangan menerusi akaun Maybank Che Rahana, 163082308629.- UTUSAN ONLINE