Henti tular berita, gambar bunuh diri - Utusan Malaysia

Henti tular berita, gambar bunuh diri

Masalah keluarga dikenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri selain isu kewangan dan tekanan perasaan sehingga berlaku kemurungan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengguna media sosial tempatan diminta agar tidak mensensasikan sebarang berita atau gambar insiden bunuh diri sama ada yang berlaku di negara ini atau luar negara.

Nasihat itu disuarakan pakar psikologi, Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip yang mendapati masih ada warganet tergamak menyiarkan kes tersebut demi mengejar populariti.

“Apabila ramai netizen menularkan berita dan gambar kes itu, mereka yang sudah ada gejala kemurungan akan dapat idea baharu untuk cuba bunuh diri juga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mengulas hantaran Kementerian Kesihatan semalam berhubung penyebaran isu bunuh diri.

Ia juga meminta masyarakat supaya menghentikan penularan rakaman video atau foto kes itu kerana dibimbangi wujud gejala peniruan selain mencetuskan ketakutan kepada pembaca.

Kementerian itu malah menggesa pengguna laman maya agar prihatin dengan tidak merakam atau berkongsi visual ngeri tersebut di samping menghormati perasaan keluarga si mangsa.

Mengulas lanjut, Mohammad Aziz Shah, yang juga kaunselor dan berpengalaman luas 20 tahun dalam bidang berkaitan berkata, jika trend itu tidak dibendung, kejadian bunuh diri akan jadi fenomena biasa.

MOHAMMAD AZIZ SHAH

“Amalan ini akan merebak cepat dalam masyarakat dan memberi trauma kedua kepada waris mangsa yang kesan emosi jauh lebih teruk ekoran kehilangan tragik ahli keluarga,” jelasnya.

Justeru, beliau menyarankan warganet lebih bertanggungjawab dengan padam atau henti sebar berita, gambar atau video kes bunuh diri selain fokus kepada hantaran yang bernada positif.

Usaha itu ujarnya, termasuk berkongsi poster motivasi seperti ayat sayangi diri sendiri, hargai kehidupan, tuhan masih mengasihani kita, anda tidak keseorangan dan yang seumpamanya.

Penyebaran maklumat sedemikian boleh menghentikan tumpuan pemikiran berbaur negatif serta bertindak menjadi terapi sosial untuk masyarakat mula sedar, tabah dan hargai kehidupan.

Mereka yang ada masalah dalaman tegasnya, diminta tidak malu meluahkan kepada talian sokongan psikososial diuruskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Mercy Malaysia.

“Usah pendam begitu sahaja atau simpan terperap dalam hati, tetapi berkongsilah dengan pegawai psikologi bertauliah yang ada ditempatkan seluruh negara,” kata Mohammad Aziz Shah.

Individu terbabit juga boleh meminta nasihat kaunselor secara percuma di 62 buah hospital Kementerian Kesihatan selain 1,161 premis klinik awam dan 28 pusat komuniti kesihatan mental.

Awal bulan ini, ibu pejabat polis Bukit Aman mendedahkan 498 kes bunuh diri telah dicatatkan dari Januari sehingga Mei lalu dengan Selangor merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 117 kes.

Siasatan lanjut mendapati, terdapat tiga punca utama yang menyebabkan kejadian tersebut iaitu masalah keluarga, isu kewangan dan tekanan perasaan sehingga berlaku kemurungan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya