HULU TERENGGANU: Masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu dimanfaatkan seorang bekas tentera untuk menghasilkan tanaman bonsai kelapa sebagai hiasan halaman rumahnya.
Mohd. Razali Muhamad, 58, berkata, hingga kini dia memiliki hampir 100 pokok bonsai tersebut dengan pelbagai ukiran seperti penyu, arnab dan kerengga.
Katanya, penglibatan dalam tanaman itu bermula secara tidak langsung apabila menonton video di YouTube sebelum mempelajari dengan lebih lanjut mengenai teknik pembuatannya di internet.
“Saya mengutip kelapa tua yang banyak terdapat di sekitar kampung dan selepas percubaan pertama berjaya, saya semakin jatuh cinta dengan aktiviti ini.
“Penghasilan pokok bonsai kelapa mengambil masa hingga tiga hari bergantung kepada ukiran pada sabutnya yang memerlukan ketelitian dan kesabaran dengan paling sukar ialah untuk mengukir arnab,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasik Nesan, Tok Dor di sini baru-baru ini.
Mohd. Razali berkata, selain kelapa kampung, dia turut menggunakan kelapa matag dan gading bagi penghasilan tanaman hiasan tersebut.
Katanya, tanaman bonsai kelapa tidak boleh terlalu terdedah kepada cahaya matahari di samping memerlukan rutin pemantauan bagi mengelakkan pokok tersebut besar.
“Jika ada permintaan saya bersedia menjual dan menyerahkan kepada pembeli untuk meletakkan harga bersesuaian berdasarkan kepada reka bentuk, kecantikan dan kesuburan bonsai kelapa,” katanya.- UTUSAN ONLINE