Hartal doktor kontrak: Lima tahun pendam kekecewaan - Utusan Malaysia

Hartal doktor kontrak: Lima tahun pendam kekecewaan

Hartal Doktor Kontrak yang diadakan di seluruh negara pada 26 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lima tahun menanti serap, itu menjadi faktor kekecewaan barisan doktor kontrak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini yang menjadi hospital dikhaskan bagi merawat pesakit Covid-19.

Hal demikian menyebabkan 20 doktor kontrak nekad mengadakan perhimpunan atau mogok bermula pukul 11.45 pagi sambil memegang plakad memaparkan ‘#hartaldoktorkontrak’ yang ditulis dengan tulisan tangan.

Pegawai Perubatan, Dr. Siti Hawa, 29 yang mengetuai sekumpulan doktor mogok itu memberitahu, mereka melangsungkan perhimpunan bagi memastikan kerajaan memberikan perhatian terhadap pengorbanan mereka terutama ketika serangan wabak pandemik.

Beliau berkata, penganjuran perhimpunan mogok itu bukan dilakukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya memperjuangkan nasib rakan-rakan pegawai perubatan lain yang ditimpa nasib sama.

“Sudah lima tahun kami menunggu (mengenai isu pegawai perubatan diserap ke perjawatan tetap) tapi, keputusan masih sama dan tiada hitam putih daripada kerajaan mengenai perkara ini.

“Jadi, kami berharap kerajaan dapat menyerap kami semua untuk perjawatan tetap, seperti pegawai perubatan lain. Apa yang kami lakukan ini bukan untuk kepentingan diri kami, malah. untuk semua pegawai perubatan kontrak di luar sana,” ujarnya.

Hartal Doktor Kontrak berlangsung di 24 buah hospital di seluruh negara bagi menyatakan solidariti terhadap status perkhidmatan kontrak dan meminta supaya kerajaan menyerap mereka semua ke perjawatan tetap.

Bagaimanapun, pada minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan perlantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Dalam pada itu, Aqilah yang sudah dua tahun menjalankan latihan perubatan di HTAR berkata, dia perlu bertugas paling kurang 12 jam setiap hari sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini dan meminta kerajaan memberikan faedah sama seperti pegawai perubatan tetap lain.

“Kalau ada doktor tetap di bahagian saya perlu merawat pesakit Covid-19, maka, saya atau rakan lain perlu hadir ke HTAR untuk bekerja untuk memastikan pegawai perubatan sentiasa cukup.

“Jadi, saya harap, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk beri elaun khas sama kepada kami. Dapat kurang daripada RM600 pun tak apa, janji dapat juga seperti doktor tetap lain,” luahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN