Hanya durian rosak, kecil 50 sen sekilogram - Utusan Malaysia

Hanya durian rosak, kecil 50 sen sekilogram

SEORANG peniaga menunjukkan durian yang dijual di tepi jalan Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Harga borong durian di sekitar Tanah Merah dan Jeli yang dilaporkan dijual pada harga 50 sen hingga RM1.50 sekilogram ekoran lambakan durian, Khamis lalu hanya membabitkan buah yang rosak atau bersaiz kecil.

Menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, selepas perkara itu dilaporkan, pihaknya segera bertemu dengan peniaga terbabit, Mokhtar Zakaria sehari selepas itu bagi mendapatkan gambaran sebenar.

Katanya, situasi sebenar didapati tidak berlaku masalah lebihan pengeluaran durian di kawasan itu atau lokasi sekitar dengan Mokhtar sendiri dapat memasarkan 400 kilogram durian sehari kepada pemborong sedia ada.

“Menurut Mokhtar, harga bagi belian melebihi 100 kilogram adalah RM2 sekilogram, manakala belian kurang daripada 100 kilogram adalah sebanyak RM2.50 sekilogram dan harga 50 sen hingga RM1.50 sekilogram hanya untuk buah yang rosak dan kecil.

“Pengeluaran hasil durian beliau (Mokhtar) dan pekebun sekitarnya dijangka berakhir pada pertengahan Ogos 2021. Jangkaan hasil pengeluaran pada masa ini sehingga pertengahan Ogos adalah sebanyak 8 tan metrik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut FAMA Kelantan lagi, antara khidmat pemasaran ditawarkan kepada peniaga atau pembekal durian ialah menawarkan lot promosi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Fama Kelantan atau di Pusat Operasi Fama Machang.

Katanya pihak FAMA juga memberi kemudahan pengumpulan sementara, menawarkan mereka sebagai pembekal durian kepada pihak FAMA Machang, mencadangkan pembentukan kumpulan peraih untuk memasarkan secara terus ke Selangor dan Kuala Lumpur.

“FAMA juga menawarkan bantuan khidmat sokongan bagi memasarkan pengeluaran secara online menerusi efamaplace/shopee,” katanya.

Setakat ini katanya, FAMA Tanah Merah dan Jeli telah mengeluarkan sebanyak 320 surat kebenaran rentas daerah dan negeri bagi memasarkan hasil pengeluaran khususnya pemasaran durian.

Harga ladang semasa durian (23 Julai 2021) adalah seperti berikut: 

 

Kampung: RM2 – RM3

Klon Campur: RM5 – RM8

Musang King A: RM25 – RM30

Musang King B: RM18 – RM25

Harga runcit semasa durian (23 Julai 2021) pula seperti berikut:

Kampung:   RM5

Klon Campur:    RM9 – RM12

Musang King A: RM35 – RM40

Musang King B: RM28 – 35

– UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya