Hai-0 manfaat sambal DuoBotak bantu individu terjejas PKP - Utusan Malaysia

Hai-0 manfaat sambal DuoBotak bantu individu terjejas PKP

HAIRUDDIN Omar menunjukkan sambal premium jenama DuoBotak yang berjaya membantu 300 individu terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjana pendapatan ketika ditemui di Kuala Nerus. - UTUSAN/ PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Produk sambal bilis premium keluaran bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar dan Mohd. Badhri Radzi berjaya membantu 300 individu di seluruh negara yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menjana semula pendapatan mereka dalam tempoh sukar ini.

Hairuddin atau lebih dikenali sebagai Hai-O berkata, bantuan golongan berkenaan sebagai ejen sekali gus membolehkan jualan sambal jenama DuoBotak kini mencecah 81,000 botol dalam hanya tiga bulan sejak mula dipasarkan pada April lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, idea untuk menghasilkan sambal bilis itu didorong oleh rasa simpati dengan nasib kebanyakan rakyat yang dibebani masalah kewangan sama ada kerana kehilangan pekerjaan atau terputus sumber rezeki sementara.

Katanya, berbekalkan pengalaman selama tujuh tahun dalam pengeluaran produk pes masakan menerusi jenama AdeqSue, Hai-O memberanikan diri memperkenalkan sambal DuoBotak bersama Mohd. Badhri yang merupakan pemain Kelantan United.

“Resipi sambal bilis ini sudah disimpan lama dan apabila kerajaan mengumumkan PKP, saya rasa itulah masa yang tepat untuk memasarkan DuoBotak kerana ramai yang tiada kerja, jadi sekurang-kurangnya mereka dapat menjadi ejen tanpa sebarang modal atau modal minimum.

“Sambutan cukup menggalakkan bukan sahaja daripada pelanggan, malah masyarakat yang mahu menjadi ejen kerana dalam situasi ekonomi yang makin menghimpit, semua orang mahu merebut peluang untuk mencari pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui di kilang AdeqSue Resources Sdn. Bhd. di sini semalam.

Menurut Hairuddin, bermula dengan hanya 8,000 botol April lalu, jualan sambalnya melonjak kepada 13,000 botol pada bulan Mei lalu dan 60,000 botol pada bulan lalu di samping bakal mengeluarkan produk baharu dalam masa terdekat.

Katanya, sambal premium berkenaan hanya dipasarkan menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter di samping bakal menembusi pasaran Arab Saudi tidak lama lagi.

“Jenama DuoBotak tercetus kerana saya bersama Mohd. Badhri masing-masing berimej botak dan bagi saya perniagaan sambal bukan bersifat bermusim serta sentiasa dicari ramai jika produk dihasilkan berkualiti di samping enak,” katanya.

Sambal bilis dan bilis petai DuoBotak dijual pada harga RM25 setiap satu untuk kandungan seberat 475 gram.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya