KOTA KINABALU: Komitmen UMNO Sabah untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuktikan kepimpinan dalam gabungan itu menjunjung mandat rakyat untuk terus memerintah di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau amat menghargai pendirian Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang konsisten dengan komitmen untuk terus bersama dalam kerajaan GRS di Sabah.
Beliau berkata, kenyataan Bung Moktar itu menggambarkan komitmen padu semua kepimpinan GRS dalam menjunjung mandat rakyat yang telah memilih kerajaan baharu di bawah gagasan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Keutamaan kita adalah menjaga kebajikan dan masa depan rakyat serta negeri ini. Cabaran di hadapan kita adalah menangani isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi susulan pandemik Covid-19.
“Justeru, sebagai Pengerusi GRS saya amat menghargai pendirian Bung Moktar yang komited untuk terus bersama kerajaan GRS di peringkat negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, perjuangan untuk rakyat perlu diterjemahkan melalui komitmen semua pemimpin yang saling bekerjasama dan bersatu padu untuk membawa Sabah keluar daripada permasalahan ini.
Sementara itu, Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, UMNO Sabah akan terus kekal bersama rakan komponen dalam GRS sebagai menghormati mandat rakyat.
Katanya, ketika ini kerajaan GRS akan bekerja keras untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 serta memulihkan dan membangunkan semula ekonomi negeri Sabah.
“Sekarang fokus utama kita adalah usaha meningkatkan kadar vaksinasi di Sabah bagi mencapai sasaran imuniti kelompok, sekaligus menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Terdahulu, Bung Moktar menyatakan UMNO Sabah akan menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan seperti yang diputuskan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam.
Namun, UMNO Sabah akan terus kekal bekerjasama dengan GRS kerana tiada keperluan untuk meninggalkan GRS kerana mandat sudah diberikan oleh rakyat dalam PRN pada September tahun lalu.- UTUSAN ONLINE