'Gerombolan' lembu berkeliaran di kawasan perumahan bimbangkan penduduk - Utusan Malaysia

‘Gerombolan’ lembu berkeliaran di kawasan perumahan bimbangkan penduduk

SEBAHAGIAN lembu yang berkeliaran di Harvard Suasana Resort di Bedong, Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kira-kira 250 penduduk Harvard Suasana Resort di Bedong dekat sini kesal dengan sikap degil seorang penternak lembu melepaskan haiwan ternakannya tanpa pengawasan di kawasan perumahan tersebut sejak dua tahun lalu.

Penduduk mendakwa, kira-kira 50 ekor lembu dibiarkan berkeliaran pada sebelah pagi dan petang setiap hari sehingga mengotorkan taman perumahan berkenaan.

Mereka turut mendakwa pernah berjumpa dengan pemilik lembu itu yang tinggal di kampung berdekatan dan memintanya mengawasi haiwan ternakan tersebut, namun, tidak diendahkan.

Seorang penduduk, Solehah Mohamad, 67, berkata, kira-kira 50 ekor lembu akan melalui taman perumahan itu sebelum ke kawasan padang golf terletak berdekatan.

“Semasa melalui kawasan perumahan ini, haiwan ternakan yang tidak diawasi itu akan memasuki pekarangan rumah dan akan meragut pokok di dalam pasu dan halaman rumah.

“Selain itu, terdapat juga najis di merata tempat termasuk di jalan raya sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan,” katanya di sini semalam.

Pesara guru, Norizan Md. Zin, 62, pula berkata, dia kecewa kerana pemilik lembu itu tidak mengendahkan teguran penduduk dan tidak memikirkan keselamatan terutama yang mempunyai anak kecil.

“Kami tidak boleh membiarkan anak-anak kecil bermain sendirian di halaman rumah dalam keadaan pintu pagar terbuka kerana bimbang kemalangan membabitkan haiwan itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Syazwana Azahari, 35, berkata, beberapa pemandu kenderaan juga nyaris  merempuh haiwan itu yang berkeliaran di jalan raya.

Sehubungan itu, tambahnya,  penduduk meminta pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan supaya pemilik ternakan itu tidak lagi membiarkan haiwan ternakan berkeliaran tanpa pengawasan di kawasan perumahan berkenaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya