PETALING JAYA: Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan program dinamakan Biz4You-th: The Bazaar of Stories esok.
Mengambil tema kesan pandemik Covid-19 terhadap bidang perniagaan dan perkara yang boleh dipelajari oleh golongan belia, program tersebut bakal diadakan secara langsung dalam bentuk forum melalui saluran Youtube mulai pukul 8 malam.
Penasihat program, Abuzar Abdul Halim berkata, sesi tersebut akan disertai usahawan daripada pelbagai bidang iaitu pertanian, makanan dan minuman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras yang juga Exxo Generasi Muda Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd. Khairuddin Othman.
Panel lain ialah Mohd Nujaidi (agropreneur moden) Firdhaus Rahmat (pengasas CareMunch) dan Rafiq Azam (pengasas bersama Venteera) manakala Farah Natasha bertindak sebagai moderator.
Beliau berkata, dunia sekarang sudah mengalami satu perubahan drastik dan program seperti ini perlu diadakan. Justeru , program tersebut bukan sekadar untuk berkongsi kisah yang boleh dijadikan peringatan buat penonton.
“Akan tetapi, ia juga mampu memberi inspirasi kepada belia yang menanam cita-cita untuk menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan..
Slogan The Bazaar of Stories bertujuan menunjukkan sebuah perdagangan komoditi. Namun, barangan komoditi bukanlah ditampilkan secara nyata sebaliknya berkisarkan kisah yang bakal dikongsi oleh panel jemputan.
Program tersebut bekerjasama dengan Institute of Public Relations Malaysia di bawah IPRMSA-UiTM Chapter. Untuk rekod, kursus Perhubungan Awam ditubuhkan sejak tahun 1972 bertujuan melahirkan golongan profesional dalam bidang perhubungan awam.- UTUSAN ONLINE